Selasa, 11 Mei 2010

Perkasa Pontian buat laporan polis terhadap Lim Guan Eng


PONTIAN 9 Mei – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Daerah Pontian membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana didakwa menghina pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian oleh Ketua Penerangannya, Haron Mohd. Amin di sini petang semalam.

Turut hadir, Pengerusinya, Datuk Ahmad Kosnan.

Dalam laporan itu, Perkasa menyifatkan Guan Eng telah mempersendakan tugas dan kredibiliti Ketua Polis Negara sebagai satu penghinaan kepada PDRM.

Sehubungan itu, Perkasa Pontian meminta Guan Eng menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada Tan Sri Musa Hassan dan seluruh anggota polis di negara ini.

“Kami melabelkan Guan Eng sebagai ejen propaganda dan merosakkan kedaulatan negara ini,” demikian menurut laporan tersebut.

Guan Eng pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Khamis lalu dilaporkan menganggap Musa tidak layak memegang jawatan tertinggi dalam PDRM kerana gagal menjadikan pasukan itu benar-benar cekap untuk melaksanakan tugas menjaga keamanan.

Beliau didakwa berkata, kes kematian remaja Aminulrasyid Amzah, 15, membuktikan anggota-anggota polis terlibat telah bertindak tanpa membuat pertimbangan yang wajar.

Perkasa Pontian juga menghantar memorandum kepada kerajaan supaya Guan Eng dirujuk di bawah Akta Hasutan kerana menimbulkan kebencian orang ramai kepada PDRM.

1 ulasan:

zedmagel berkata...

Salam Tuan,

Tahniah kepada Ketua Penerangan PERKASA Pontian. Pemimpin macam ni yang kita cari. Ini boleh dicalonkan sebagai Ketua Penerangan PERKASA negeri.