Selasa, 29 Mac 2011

Selamat Maju Jaya Untuk Arman!


Pada 26 dan 27 Mac 2011 lepas Perkasa pusat baru saja mengadakan taklimat pengurusan organisasi di Wisma Belia Jalan Syed Putra dan Konvensyen Transformasi Ekonomi Melayu di PWTC yang turut kelihatan kelibat Ketua Wira Perkasa Arman Azha Abu Hanifah. Hari ini Arman umum letak jawatan serta merta.klik di sini.

Tentu ada pelbagai spekulasi dengan perkembangan ini dan paling mudah untuk membuat kesimpulan adalah berlaku perpecahan dan krisis dalaman di dalam perkasa.Saya rasa tidak timbul perbalahan dalaman seperti mana yang ditegaskan Arman. 'Tindakan beliau melepaskan jawatan itu tiada kaitan dengan desakan atau masalah dengan kepimpinan dalam Perkasa yang diterajui Datuk Ibrahim Ali.

Mengulas lanjut tindakannya, Arman Azha berkata, keputusan itu diambil kerana berpandangan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak boleh mencapai matlamat tuntutan tanpa mempunyai kuasa politik.

“Mana-mana NGO hanya boleh mendesak dan tidak boleh melaksanakan apa-apa tuntutan tanpa kuasa politik, apa pun yang kita buat akhirnya memerlukan kuasa politik,”

Jelas di sini bahawa Arman yang mempunyai bakat pidato dan petah berkata-kata mempunyai masa depan politik yang cerah. Walaupun beliau masih menimbulkan tanda tanya tentang parti politik mana yang akan disertainya tetapi ramai sudah menjangka beliau akan bergerak aktif di dalam UMNO bersesuaian pula dengan Ketua Penerangan Pemuda Umno Petaling Jaya Utara.

Berdasarkan pengalaman di Tenang, di mana Timbalan Ketua UMNO Bahagian Labis yang ditolak sebagai calun BN di DUN Tenang tempoh hari disebabkan antara faktornya adalah jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi Perkasa Segamat maka ramai yang beranggapan mereka yang memegang jawatan penting di dalam Perkasa akan ditolak sebagai calon khususnya di kawasan undi bercampur seperti Tenang. Jelas di sini jika mahu aktif di dalam politik kepartian Arman mesti lepaskan jawatan penting di dalam Perkasa.

Ada juga secara sinis mengatakan bahawa Perkasa benar-benar menjadi platform kepada mana-mana individu untuk popular dan mencari pengaruh. Mungkin ramai yang tidak kenal Arman sebelum ini. Orang kenal Arman melalui Perkasa. Apabila sudah terkenal maka Perkasa yang tidak mempunyai masa depan politik ditinggalkannya.

Bagi saya, jika Arman memilih mana-mana parti politik tentu lebih selesa untuk beliau melepaskan jawatan ini supaya tidak timbul kekeliruan sama ada ianya suara daripada parti yang diwakilinya atau suara ketua wira perkasa.klik di sini.

Ada juga yang mengatakan Arman sedang membuat persiapan untuk bertanding Exco Pemuda UMNO Malaysia. Tidak kurang juga yang membuat telahan Arman akan bertanding Naib Ketua Pemuda jikalau Razali Ibrahim bertanding Ketua Pemuda. Berita ini mungkin menjadi khabar gembira bagi musuh-musuh KJ dan mungkin menjadi berita buruk kepada para penyokong dan pendokong ketua pemuda sekarang. Ramai mengharapkan regu ini menjadi kenyataan yang boleh memberi saingan sengit kepada regu KJ. Ini cuma spekulasi politik belaka.

Hakikatnya Arman masih belum memilih mana-mana parti lagi walaupun beliau Ketua Penerangan Pemuda UMNO Petaling Jaya Utara. Sama ada beliau akan keluar UMNO atau memilih parti-parti Pakatan Rakyat masih di dalam pertimbangannya. klik di sini.

Namun kedengaran juga sayup-sayup suara anak muda mengatakan 'Walau apa pun yang Arman lakukan, walau apa pun strategi Arman, walau apa pun jawatan Arman di dalam politik, diharap tidak menghilangkan suara lantang beliau yang kuat dan tegas mengenai hak bangsa Melayu di dalam perlembagaan.Jangan pula nanti menjadi lembu dicucuk hidung, tutup mata, tutup mulut demi survival dalam politik setelah selesa di kerusi kuasa. Arman diharap akan terus menjadi suara ultra Melayu.

Bagi saya pemilihan di dalam parti masih jauh kerana PRU pun belum pasti bila akan berlaku. Saya menganggap perletakan Arman adalah disebab prinsip dan masa depan politiknya yang terbuka luas disamping memperkukuhkan dan memantapkan parti yang akan diwakilinya. Perkasa hanya NGO pendesak bukan tempat yang bagus untuk meneruskan karier sebagai ahli politik yang berkuasa.

Selamat Maju Jaya!

Amir Hamzah b Mohamad
Batu Pahat.

Isnin, 28 Mac 2011

PERKASA Johor menghantar 50 orang perwakilan.


Majlis Taklimat Pengurusan dan Perjuangan Perkasa untuk semua Kepimpinan Perkasa Pusat, Negeri dan Daerah pada Sabtu 26hb. Mac 2011 di Wisma Belia Jalan Syed Putra Kuala Lumpur berjalan dengan lancar.

PERKASA Johor tidak ketinggalan menghantar perwakilan bagi setiap daerah melibatkan pengerusi daerah, setiausaha, ketua penerangan dan ketua ketiga-tiga sayap. PERKASA Negeri juga turut menghantar wakil yang diketuai oleh NYDP Negeri Hj Bajuri b Bernawi.

Walaupun di masa yang sama Perdana Menteri dalam rangka lawatan ke Muar dan Kluang, namun Jawatankuasa PERKASA yang terlibat dengan lawatan PM masih dapat hadir walaupun lewat. Hanya PERKASA Segamat sahaja yang tidak dapat menghantar wakil atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pada keesokan harinya, semua perwakilan ke PWTC untuk menghadiri Konvensyen Transformasi Ekonomi Melayu di Dewan Tun Hussien Onn di Aras 2. Beberapa kertas kerja dibentangkan termasuk sessi soal jawab dengan beberapa agensi seperti Petronas, TERAJU, EKUINAS dan SME.

Terima kasih kepada semua perwakilan Daerah dan Negeri.

Amir Hamzah Hj Mohamad
Setiausaha,
PERKASA Johor

Pengumuman!

Perkasa Kawasan Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru akan mengadakan Majlis Pelancaran pada hari Sabtu 02 hb April, 2011, jam 8.30 malam di Balai Serbaguna, Jalan Perwira 11, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

Pada majlis yang sama, Perkasa Zon Gelang Patah, Johor Bahru akan menyampaikan watikah perlantikan Ketua-ketua Perkasa Kawasan dalam Zon Gelang Patah, Johor Bahru.

Watikah perlantikan akan disampaikan oleh Yang DiPertua, Perkasa Negeri Johor Ybg Dato’ Abdul Rahman Bakar.

Ketua Penaja Perkasa Kawasan Taman Ungku Tun Aminah, Abd Razak Abd Aziz dan Ketua Perkasa Zon Gelang Patah, Ibrahim Atan menjemput orang ramai hadir ke majlis tersebut.

Samad Atan
NYDP 1, PERKASA Johor

Boikot Kopi Stesen Keretapi Kluang!


Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) melakukan pemeriksaan di premis ini dalam satu operasi bersepadu bersama Jabatan Kesihatan, Majlis Perbandaran Kluang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada Januari lalu.

Ia berikutan pelbagai aduan orang ramai yang mendakwa terdapat penggunaan tulang babi dalam kopi yang dijual kepada pelanggan termasuk di kalangan umat Islam yang sering berkunjung ke premis ini.

Pengusaha premis ini memiliki kilang sendiri bagi memproses kopinya.

Pada 19 Januari lalu, sampel telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengetahui kandungan sebenar kopi yang digunakan.

Untuk rekod, premis ini tidak memiliki sebarang pengesahan halal.

Pada 14 Mac lalu, keputusan ujian diserahkan Jabatan Kimia di mana antara lain menyebut terdapat kandungan gelatin babi pada bahan minuman itu.

Gelatin babi itu dikatakan digunakan bagi meningkatkan lemakpada kopi yang dijual. Patutlah sedap semacam jek.

Mmanakala terdapat kandungan alkohol dalam madu yang digunakan di premis itu.
Kopi yang mengandungi gelatin babi itu turut dihidangkan kepada pelanggan beragama Islam.

Apa kata PERKASA.

Justeru itu PERKASA Johor Bahru meminta tindakan tegas perlu dikenakan ke atas pengusaha makanan dan minuman yang memasukkan bahan larangan ke dalam makanan setimpal dengan kesalahan itu.

Mengulas satu laporan di sebuah akhbar harian, Perkasa Johor Bahru amat kesal dan rasa dipermain-mainkan oleh pengusaha sebuah premis makanan di Kluang, Johor yang menggunakan DNA Babi sebagai bahan campuran dalam Serbuk kopi keluaran mereka. Ujian makmal berjaya mengesan DNA babi pada kiraan 0.01ng. Perbuatan ini bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Makanan di bawah Akta Makanan, 1983.

Melalui satu sample lain, ujian makmal juga mengesan kandungan Alkohol dalam madu pada kiraan 0.04% dipremis yang sama.

Penggunaan bahan-bahan tersebut semata-mata untuk menambahkan ‘gian’ pengguna tanpa mengambil kira kesucian makanan kepada orang Islam. Menurut seorang aktivis kemasyarakatan di Kluang Cikgu Ghazali bahawa pengusaha ini sering dinasihatkan agar memohon pengesahan Halal dari JAKIM, namum nasihat tersebut tidak dihiraukan.

Kesalahan tersebut dikesan oleh satu gerakan penguatkuasaan bersepadu di sebuah premis kopitiam yang terkenal yang telah wujud sejak 1938 lagi, malahan telah membuka beberapa buah rangkaian kopitiam di bandar-bandar lain seluruh Malaysia.

Syabas dan ribuan terima kasih diucapkan kepada orang ramai yang perihatin dalam hal ini serta Jabatan-Jabatan yang terlibat termasuk Jabatan Agama Islam Johor, Jabatan Kesihatan Kluang, Majlis Perbandaran Kluang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri , Koperasi dan Kepenggunaan. Usaha-usaha yang mulia ini amatlah dihargai dan perlu lebih tegas.

Dengan penemuan ini, umat Islam perlulah lebih berhati-hati dalam memilih premis makanan terutama dipremis-premis makanan berkonsep seperti ini .


Samad Atan
NYDP 1, PERKASA Johor

Khamis, 24 Mac 2011

Meleset!

Tulisan saya bertajuk 'Wayang Anwar' meleset sama sekali selepas menonton Berita TV 3malam tadi. Siapa Datuk T terjawab. Huruf T bermaksud Trio atau lebih tepat lagi Datuk T atau Datuk Trio yang terdiri daripada DS Rahim Tamby Chik, Datuk Shuib Lazim dan Datuk Shazryl Eskay Abdullah.

Persepsi saya meleset!

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik mengakui beliau bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas Ketua UMNO bahagian Sungai Petani,Datuk Shuib Lazim adalah 'Datuk T' atau 'Datuk Trio' ,yang sebelum ini menjadi orang misteri dibelakang isu video seks itu.

Mereka tampil dalam sidang media di Hotel Impiana KLCC pada jam 4 petang - selang lebih tiga jam selepas Ahli Parlimen PKR,Sungai Petani, Datuk Johari Abdul adakan sidang akhbar di ibupejabat PKR memberitahu beliau sudah dipertontonkan video itu pada 21 Mac di Hotel Flamingo,Ampang oleh Shazryl Eskay yang turut dihadiri oleh Rahim.

Di hadapan puluhan wartawan dalam dan luar negara, Rahim turut mengaku tayangan video untuk pengarang media di Carcosa Sri Negara pagi Isnin lalu diatur oleh beliau dan dua rakannya itu. (agendadaily)

Lebih mendebarkan saya apabila salah seorang Datuk itu iaitu Datuk Shazryl Eskay Abdullah begitu yakin dengan kesahihan dan ketulenan pelaku dan video tersebut. Malah apabila ditanya wartawan tentang ketulenan video tersebut, secara selamba beliau menyatakan "saya sendiri ada dalam video itu".

Disebabkan beliau sendiri ada di dalam video itu, tidak hairan lah beliau begitu berani mengatakan 100 peratus lelaki dalam video itu yang dikatakan mengadakan hubungan seks dengan pelacur China itu adalah Anwar Ibrahim.

Shazrly yang mengaku kenal baik dengan Anwar sejak tahun 1997 membuktikan bukan sahaja Anwar semakin kehilangan kawan-kawannya tetapi kawan-kawan ini lah yang membuka pekung Anwar sendiri.

Sebahagian besar daripada kita masih ingat kes Rahim Tamby Chik yang dikaitkan dengan hubungan sulit bersama gadis berumur 15 tahun pada tahun 1994. Hari ini Rahim telah mengimbas kembali bagaimana Anwar Ibrahim yang ketika itu telah menasihatinya berundur dan meletakkan jawatan sebagai ketua menteri Melaka kerana maruahnya telah tercalar. Selepas 17 tahun, Rahim pula mengesa Anwar meletakan jawatan di dalam parti dan bersara daripada politik.

Hebat orang-orang politik ni.....

Pendedahan Datuk Trio ni memadamkan tulisan saya yang terdahulu, 'Wayang Anwar'. Klik di sini.

Amir Hamzah
Batu Pahat

Selasa, 22 Mac 2011

Wayang Anwar !

Apabila timbul cerita terbaru tentang pendedahan oleh seorang yang dikenali sebagai Datuk T berhubung dengan rakaman video seks yang melibatkan pemimpin kanan sebuah parti pembangkang, ianya bukan lah sesuatu yang sensasi. Ianya masih tidak mengatasi sensasinya pengakuan Saiful Bukhari.

Tidak sampai 10 jam selepas pendedahan video seks secara ekslusif kepada wartawan, Anwar Ibrahim membuat sidang akhbar khas menafikan kaitan dirinya. Malah Anwar Ibrahim telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Dang Wangi berkaitan kewujudan sebuah video seks yang mengaitkan dirinya semalam. (sumber Utusan)

Saya lebih mempercayai bahawa bukan Anwar lelaki dalam video seks tersebut walaupun Chua Soi Lek sebelum ini terpaksa mengaku dialah lelaki di dalam video lucah yang melibatkan dirinya. Chua Soi Lek tiada pilihan lain dan dia tidak mampu untuk menafikannya kerana memang jelas dan terang bahawa pelakon di dalam video itu adalah dirinya.

Tidak ramai lagi yang dapat melihat video seks tersebut, jadi segala pandangan adalah berdasarkan persepsi semata-mata kerana persepsi sudah menjadi makanan rutin rakyat Malaysia. Persepsi saya 'pelakon' di dalam video ini BUKAN Anwar kerana KEBERANIAN menafikan dan membuat laporan polis.

Jika 'pelakon' itu dirinya nescaya Anwar tidak berani untuk membuat laporan polis dan lazimnya beliau akan bersama-sama berduet dengan Ziana Zain menyanyikan lagu 'madah berhelah'. Contohnya, beliau akan berdolak dalik dalam isu muhabalah dan Isu DNA.

Apakah tujuan Anwar membangkitkan isu video seks ini?

1. Mengalih pandangan masyarakat terhadap keengganannya menyerahkan setitik darahnya untuk DNA bagi mempercepatkan proses perbicaraan liwat 2 nya yang sudah bertangguh lebih daripada 50 kali.

2. Melambat-lambatkan perbicaraannya dengan mewujudkan sisatan dan perbicaraan baru melibatkan dirinya. Ianya mungkin berterusan sehingga PRU 13.

3. Sarawak adalah kubu kuat BN. Pilihanraya Sarawak adalah satu lagi peluang keemasan untuk menjatuhkan Taib Mahmud dan Pakatan Rakyat akan merampas serta menguasai kerajaan negeri. Penguasaan PR ke atas Sarawak akan memudahkan kerja mereka menguasai kerusi-kerusi parlimen di Sarawak di dalam PRU ke 13 nanti.

4. 82 kerusi yang dikuasai sekarang perlu dikekalkan dengan tambahan kerusi-kerusi daripada Johor, Sabah dan SARAWAK akan memberi laluan kepada Pakatan rakyat ke Putrajaya.

Kesannya tentu lah rakyat akan melupakan seketika isu DNA dan sekali gus menghentikan demontrasi-demontrasi di seluruh negara yang mendesak Anwar menyerahkan DNA kepada polis. Isu DNA sudah senyap dengan sendirinya kerana ramai yang percaya Anwar akan 'kantoi' dalam isu terbarunya.

Anwar seperti biasa akan menuduh sipolan dan sipolan melakukan konspirasi dan cubaan melemahkan Pakatan Rakyat yang kononnya semakin mendapat sokongan rakyat. Persepsi ini akan ditakuti boleh mempengaruhi pengundi-pengundi di Sarawak yang akan membuang undi tidak lama lagi.

Sesiapa yang sudah masak dengan taktik Anwar akan mudah membaca tindakannya.Ianya hampir sama dengan 'persepsi rakyat' berkenaan isu sepanduk yang melibatkan Chua Jui Meng dengan Sultan Johor satu waktu dahulu. Akhirnya sepanduk itu dibuat, dipasang dan digantung oleh ahli-ahli PKR sendiri yang memprotes Anwar melantik Chua Jui Meng sebagai pengerusi perhubungan PKR Johor.

Tidak mustahil dan segalanya mungkin jika kerja-kerja ini dilakukan oleh Anwar dan kuncu-kuncunya.......

VK Lingam: "Looks and sounds like me, BUT it is not me.".....kahkahkah

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Isnin, 21 Mac 2011

Pengumuman

Majlis Taklimat Pengurusan dan Perjuangan Perkasa untuk semua Kepimpinan Perkasa Pusat, Negeri dan Daerah pada Sabtu 26hb. Mac 2011 di Wisma Belia Jalan Syed Putra Kuala Lumpur jam 02.45 ptg hingga 11.45 malam.

Semua yg berkenaan hendaklah mendaftarkan diri di Kaunter urusetia bertempat di Wisma Belia pada jam 12.30 tgh. Semua Setiausaha PERKASA Daerah hendaklah menghantar nama-nama wakil ke amirhamzahperkasa@yahoo.com.my selewat lewatnya 23hb. Mac 2011. Butiran yang diperlukan ialah nama penuh, No.K.P dan No. Handphone.

Amir Hamzah Hj Mohamad
Setiausaha PERKASA Johor

Lima lagi kampung di sekitar Plentong tubuh Perkasa

Perkasa JB dijemput menghadiri perbincangan dengan wakil 5 buah kampung di sekitar kawasan Plentong, Johor Bahru. Kampung-kampung tersebut ialah Kg Sri Makmur, Kg Plentong Baru, Kg Rumah 10, Kg Sri Bahagia dan Johor jaya.

Wakil kampung-kampung tersebut diketuai oleh Haji Sapiee Barima yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah sementara Perkasa JB diwakili oleh Pengerusi Hj Ghaus Mohd Yusof dan AJK Hamdan Ahmad. Perkasa Negeri Johor diwakili oleh Naib Yang Di Pertua 1 En Samat Atan.

Walik 5 kampung tersebut amat berminat dengan perjuangan Perkasa dan telah menyatakan hasrat untuk bersama-sama dalam Perkasa memperjuangan hak dan nasib orang-orang Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Seramai lebih 8,000 pengundi berdaftar di 5 kampung tersebut.

Turut dibangkitkan dalam perbincangan tersebut ialah isu perkampungan mereka yang belum selesai walaupun Menteri Besar Johor dan Ahli Parlimen Pasir Gudang telah beberapa kali berjanji malah telah mengumumkan bahawa isu penempatan penduduk akan diselesaikan secepat mungkin. Wakil-wakil tersebut bimbang pengundi mulai bosan dengan janji-janji pemimpin.

Perbincangan tersebut juga memutuskan untuk mengadakan majlis khas yang akan dihadiri oleh semua kampung-kampung setinggan dalam daerah Johor Bahru dalam masa terdekat.

Samad Atan
NYDP 1, PERKASA Johor

Khamis, 17 Mac 2011

Perkasa mahu Najib jamin Kulim Bhd kekal di tangan syarikat Melayu


KUALA LUMPUR, 17 Mac — Perkasa, pimpinan Datuk Ibrahim Ali, terus mendesak agar kerajaan pusat dan Johor memastikan Kulim (M) Bhd – pemilik rangkaian restoran makanan segera KFC Holdings yang kukuh aliran tunai, tidak berpindah ke tangan bukan Melayu.

Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan tersebut juga mahu kerajaan memastikan Kulim dan KFC tidak dikuasai oleh pemilik orang perseorangan kalangan Melayu-Bumiputera.

Ahad lalu, bekas presiden dan ketua eksekutif Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim mendakwa ada mendengar ura-ura bahawa pihak pengurusan JCorp merancang untuk menjual anak syarikatnya, Kulim (M) Bhd (Kulim).

“Kami dengar macam-macam cerita kononnya ia akan dijual kepada syarikat bukan Melayu, malah ada yang mengatakan ia akan dibeli individu Melayu-Bumiputera.

“Tetapi kesemua maklumat itu belum dapat dipastikan pengesahan, macam mana pun kami mahu ia kekal dimiliki oleh syarikat Melayu-Bumiputera, individu Melayu-Bumiputera pun kami tidak setuju”.

Ahli Parlimen Bebas itu berkata ada desas-desus bahawa ia akan dibeli oleh pemimpin politik parti komponen bukan Melayu dan juga syarikat bukan Melayu yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Tetapi pengesahan belum ada lagi, saya sudah selidik,” katanya.

Ketika ditanya sama ada pihaknya akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau Menteri Besar Johor Datuk Seri Ghani Othman berhubung perkara tersebut, Ibrahim berkata, “tidak.”

“Kalau nak jumpa pun, mungkin tidak mudah kerana semua sibuk, Perkasa dan lain-lain NGO Bumiputera akan tunggu dulu untuk dapatkan pengesahan.

“Setelah dapat jawapan hitam putih, baru Perkasa dan lain-lain NGO akan membuat keputusan apakah tindakan yang patut diambil,” kata beliau lagi.

Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata maklumat beliau itu diperoleh daripada sumber yang boleh dipercayai.

Menurutnya sama ada dakwaan itu benar atau tidak, beliau berharap keputusan untuk menjual Kulim difikir sedalam-dalamnya memandangkan ia merupakan aset utama JCorp dan orang Melayu.

Beliau yang pernah bersama Jcorp selama 30 tahun, turut melahirkan rasa sedih dan kecewa sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

“Saya juga percaya rancangan itu akan mendapat tentangan hebat daripada pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang mahu melihat Kulim kekal di bawah JCorp untuk membantu bangsa Melayu,” katanya.

Muhammad Ali berkata Kulim kini adalah satu daripada penjana pulangan wang utama kepada JCorp kerana ia merupakan badan induk kepada QSR Brands Bhd, KFC Holdings (M) Bhd dan turut memegang hak 38,000 hektar ladang sawit di seluruh negara.

Rabu, 16 Mac 2011

Jcorp bertegas tak jual Kulim!

'JCorp dah lantik consultant utk jual Kulim, QSR, KFC dan Sindora, antara bakal pembeli ialah Genting Berhad. Ni semua syarikat yg paling power dlm JCorp. Tak sampai 2 bulan Tan Sri Ali di tendang keluar dari JCorp dia org dah start nak jual semua aset penting bumiputera dlm JCorp kpd bangsa asing. Mana pergi janji top politicians di Johor yg janji tak kan jual sykt2 ni? Betul ler mcm yg Tan Sri sebut kat dlm artikel di atas tu…

JIKA JADI JUAL, MAKNANYA SATU LAGI SYARIKAT BESAR BUMIPUTRA AKAN HILANG DITELAN KERAKUSAN ORG2 YG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB DAN AMANAH UTK MENJAGA SYARIKAT YG TELAH DIAMANAHKAN...' petikan daripada blog Sdr Arman Azha.Ketua Wira PERKASA Malaysia. klik di sini.

Dibawah saya sertakan kenyataan akhbar yang jelas menyatakan bahawa khabar angin itu adalah tidak benar.Tidak ada konsultan yang telah dilantik untuk menjual Kulim, QSR, et al tetapi JCorp telah melantik CIMB dan Maybank sebagai penasihat untuk penstrukturan semula hutang JCorp.

Baca juga petikan dari The Star January 8, 2011

"The group has “saleable assets” of RM2.1bil, Kamaruzzaman said, without elaborating.
JCorp's landbank and properties are largely in Johor and this includes up to RM2.5bil in commercial properties.At at March last year, it had about 2,000ha to be developed in the Iskandar Malaysia region."

"Kamaruzzaman said the group's remaining debt would be restructured via new loans or instruments.JCorp has appointed CIMB Bank and Maybank Investment Bhd as advisors for the restructuring.

Both banks are also the biggest lenders to JCorp which could probably mean that both banks own the bulk of the bonds due for maturity."

"JOHOR BARU: Johor Corp will sell a parcel of land it owns in Johor as part payment for the RM3.6bil debt that is due in July 2012, says president and chief executive officer Kamaruzzaman Abu Kassim.

He also said the land had a market value of more than RM2bil."

Menurut sumber itu, memang tidak ada asas langsung tuduhan yang JCorp memberi sebab perlu jual Kulim untuk menangani hutang, sedangkan Kamaruzzaman sendiri menyebut saleable assets yang berbentuk hartanah saja melebihi RM2.1 billion.

Bagi peminat-peminat yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh membaca bacaan tambahan di bawah.

1. JCorp selling land to repay part of debt
2. JCORP: MAKES NO SENSE TO SELL OUR CORE BUSINESS
3. KULIM-QSR-KFC CREATING FALSE MARKETS?
4. SHAHRIR SAMAD: ALI HASHIM HAS TO GO
5. Chances of QSR, KFCH sale grow dimmer


Perkasa Johor akan mengikuti perkembangan ini daripada masa ke semasa.

Amir Hamzah b Mohamad
Setiausaha,
PERKASA Johor.

Tiada Demontrasi!

YDP Pertubuhan Pribumi Perkasa Johor, Dato' Abd.Rahman b Abu Bakar memberi jaminan bahawa tidak ada demontrasi yang akan dilakukan oleh pihak PERKASA berhubung isu pihak pengurusan JCorp yang dikatakan sedang merancang untuk menjual anak syarikatnya, Kulim (M) Bhd.(Kulim). YDP Perkasa Johor juga telah mengarahkan semua pengerusi-pengerusi PERKASA Daerah-daerah tidak membelakangkan PERKASA Negeri dalam mengambil tindakan yang tidak diketahui kesahihan berita dan sumber-sumber maklumat yang diperolehi.

Difahamkan ada maklumat mengatakan ada perancangan daripada pengurusan Jcorp untuk menjual Kulim Bhd (KFC)kepada Genting Berhad. Sumber itu juga mempertikaikan, mengapa tidak dijual kepada Tabung Haji atau FELDA untuk kepentingan ekonomi bumiputera. Maka satu demontrasi sedang dirancang untuk mengadakan perhimpunan di Johor Bahru.

Memandangkan isu ini melibatkan harga pasaran saham syarikat terbabit maka ada lebih baik jika ianya tidak digembar-gemburkan. Namun, PERKASA Johor tetap berpegang kepada kenyataan Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kasim. Dalam kenyataannya di Utusan Malaysia pada 28/12/2010 yang lalu, beliau menyatakan Johor Corporation (JCorp) tidak berhasrat untuk menjual aset-aset berharga iaitu QSR Brands Bhd. (QSR) dan KFC Holdings (M) Bhd. (KFCH), yang dipegang melalui anak syarikatnya Kulim (M) Bhd. (Kulim). Malah katanya lagi, QSR dan KFCH akan kekal sebagai aset berharga dan strategik bagi JCorp. Klik di sini untuk laporan akhbar berkenaan.

PERKASA Johor mengharapkan Jcorp akan terus mengekalkan aset-aset yang mewakili kepentingan orang Melayu dan dalam masa yang sama, turut menyumbang membantu syarikat-syarikat Melayu yang lain. Di bawah pengurusan yang baru, diharap Jcorp dapat mengikis persepsi buruk daripada 'menelan' syarikat-syarikat Melayu kepada memayungi syarikat-syarikat kecil ini.

PERKASA Johor juga yakin dan percaya, pengurusan Jcorp yang baru akan dapat mencari jalan menangani beban hutang berjumlan 3.5 billion yang menjadi libaliti kepada Jcorp.

Amir Hamzah Hj Mohamad
Setiausaha,
PERKASA Johor.

Selasa, 15 Mac 2011

JCorp mahu jual Kulim?

Jika benar dakwaan Ali Hashim berkenaan pihak pengurusan JCorp sedang merancang untuk menjual anak syarikatnya, Kulim (M) Bhd. (Kulim), maka ianya merupakan satu malapetaka kepada satu lagi syarikat gergasi berkepentingan orang Melayu. Apa tah lagi ada khabar-khabar angin mengatakan bahawa ianya akan dijual kepada GENTING.

Dakwaan Ali ini perlu disiasat memandangkan beliau adalah Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp). Adakah ada krisis antara beliau dengan pengurusan Jcorp yang baru atau masih ada rasa tidak puas hati Ali Hashim berkenaan dengan usul penyingkiran beliau daripada anak-anak syarikat JCorp. Sila klik di sini.

Baru-baru ini, Ali yang merupakan Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mengeluarkan kenyataan bahawa JCorp merancang menjual Kulim. Klik di sini.

Namun begitu pada tahun lepas, Johor Corporation (JCorp) telah menegaskan pihaknya tidak berhasrat untuk menjual aset-aset berharga iaitu QSR Brands Bhd. (QSR) dan KFC Holdings (M) Bhd. (KFCH), yang dipegang melalui anak syarikatnya Kulim (M) Bhd. (Kulim)

Sebaliknya, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kasim menegaskan QSR dan KFCH akan kekal sebagai aset berharga dan strategik bagi JCorp. Baca selanjutnya di sini.

Mana satu yang betul. Ali Hashim kah? JCorp kah?

Amir Hamzah Mohamad
Setiausaha,
PERKASA Johor

Isnin, 7 Mac 2011

PERKASA sahut cabaran Nazri Padang Rengas

PERKASA menyahut cabaran Nazri Aziz supaya PERKASA bertanding di PRU13 akan datang. PERKASA akan meletak calun di mana saja ada calun dari mana-mana parti yang dilihat menolak agenda Melayu dan Bumiputera.

PERKASA juga tidak teragak-agak meletak calun bebas di Padang Rengas nanti. Bagaimanapun PERKASA merasakan PRU13 nanti tidak perlu calun bebas tajaan PERKASA di Padang Rengga nanti kerana Nazri bukan lagi calun BN di situ, Menurut Setiausaha Agung PERKASA Sdr Syed Hassan Syed Ali

PERKASA akan pastikan Nazri bukan lagi calun BN di situ. Jika beliau masih lagi bertanding PERKASA akan letak calun. Biar tidak menang di situ kerana PERKASA hanya perlukan Nazri tidak akan menang sahaja.

Biar calun dari Parti lawan lain yang menang di situ akibat dari terpecahnya undi BN, PERKASA akan tetap berpuas hati. Pemimpin seperti Nazri tidak diperlukan lagi. Sebenarnya Nazri adalah penyebab BN hampir ditolak rakyat keseluruhannya pada PRU12 dulu bila kenyataan-kenyataan yang dibuatnya menyakiti hati orang Melayu dan membabi buta pertahan Perdana Menteri yang lemah dan menghina bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sebelum itu. Rakyat sudah kenal siapa Nazri ni.

Kenapa beliau perlu melenting bila PERKASA menolak cadangan untuk memansuhkan ruang perkenalan bangsa di borang-borang yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerajaan atau swasta seperti yang dicadangkan Dr. Muzaffar? kata Syad Hassan kepada laman www.pribumiperkasa.com sebentar tadi.

Mengapa memaksa semua pihak bersetuju pada sesuatu cadangan yang beliau turut setuju? Itu hak PERKASA nak tolak atau setuju. Bukankah kerajaan sekarang terbuka menerima pandangan semua pihak?

Apa masalahnya untuk kekalkan ruangan perkenal bangsa di setiap borang? Perpaduan kaum bukan itu yang menjadi penghalang. Selepas ini akan ada pula cadangan masuhkan ruangan perkenal agama pada borang. Kemungkinan Nazri juga akan bersetuju. Cadangan yang membuatkan banyak pihak tidak bersetuju juga perlu diambil kira. Bukan cadangan yang Nazri sahaja perlu dituruti.

PERKASA sudah ada calun yang sesuai untuk Parlimen Padang Rengas pada PRU13. Hanya menunggu masa sahaja dan kata putus terletak di tangan Presiden PERKASA Dato’ Ibrahim Ali.

PERKASA telah merancang mengadakan satu lagi perhimpunan Melayu di Perak. Nampaknya kita sudah kenal pasti tempat yang sesuai. Saya cabar Nazri gagalkan perhimpunan Melayu anjuran PERKASA di Padangan Rengas bila sampai masanya.

BN perlu pastikan calun yang diterima oleh semua pihak perlu diletak di Padang Rengas. PERKASA akan tolak BN kalau Nazri masih lagi calun di Padang Rengas.

Jumaat, 4 Mac 2011

PERKASA DAN PEKIDA BERSATU DI JOHOR BAHRU

Kewujudan Perkasa di daerah Johor Bahru mendapat sokongan kuat dari ahli-ahli Pekida dengan jawatan-jawatan penting Perkasa Johor Bahru dipegang oleh ahli-ahli Pekida.

Pengerusi Perkasa Johor Bahru Hj Mohd Ghaus Yusof, Ketua Zon Johor Bahru Hj Ali Senawi, Ketua Zon Pulai Azali Ahmad, Ketua Zon Tebrau Hashim Gani, AJK daerah Johor Bahru Hamdan Ahmad adalah aktivis-aktivis Pekida, malahan setiap aktiviti Perkasa dihadiri oleh ahli-ahli Pekida. Penjawat-penjawat jawatan di atas juga sentiasa memberi penerangan mengenai tujuan dan halatuju Perkasa dan sehingga kini mereka telah membawa masuk lebih 1,000 orang ahli Pekida menjadi ahli Perkasa.

Pekida dianggap memegang peranan 'benteng Melayu' dan Perkasa melaksanakan peranan mempertahan keagongan dan kesucian Islam, mempertahan kedaulatan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu, hak-hak Melayu dan Bumiputra.

Perkasa Johor Bahru menyokong dan berdiri teguh bersama-sama Perkasa Melaka yang membuat laporan Polis terhadap provokasi kain rentang di Merlimau baru-baru ini.

Perkasa Johor Bahru juga mengharapkan agar Pemimpin-pemimpin parti-pati politik termasuk UMNO memahami perjuangan Perkasa agar tidak timbul rasa curiga sebaliknya menerima hakikat bahawa perjuangan NGO Melayu dan parti politik Melayu menuju kearah matlamat yang sama.

Samat Atan
NYDP 1, PERKASA Johor

Khamis, 3 Mac 2011

Tanah Rezab Melayu : Pengambilan Dan Penggantian

Kerajaan perlu mengeluarkan butiran terperinci tentang Tanah Rizab Melayu (TRM) yang diambil untuk tujuan pembangunan (Projek Awam) dan sudahkah diganti dengan keluasan dan nilai yang sama?

Tanah Rizab Melayu adalah peninggalan British yang telah memperkenalkan satu enakmen yang dikenali sebagai Enakmen Rizab Melayu pada tahun 1913 yang bertujuan untuk menjaga dan menjamin kepentingan bangsa Melayu ke atas tanah dan juga untuk memastikan tanah – tanah berkenaan tidak jatuh ke tangan bukan Melayu.

Tujuan utama British memperkenalkan Enakmen Rizab Melayu ini adalah untuk mencegah orang – orang Melayu dari menjual dan memperolehi keuntungan daripada penjualan tanah – tanah ini kepada bukan Melayu.

PERKASA Johor akan mengadakan satu seminar tentang Tanah Rizab Melayu menyentuh tentang Sejarah, Pembangunan Tanah Rizab Melayu, Pengambilan dan Pengantian Tanah Rizab Melayu, Pindaan enakmen berkaitan Tanah Rizab Melayu serta pengekalan hak milik terhadap orang Melayu serta masa depan Tanah Rizab Melayu.

Benarkah Tanah Rizab Melayu tidak ada nilai sedangkan tanahnya sama malah kadang kala lebih subur dan lebih strategi kedudukannya. Siapakah yang menentukan tinggi atau rendah nilai sesuatu keping tanah? Adakah ianya satu persepsi agar Tanah Rizab Melayu ini ditukar kepada pegangan bebas semata-mata mahu meningkatkan nilai tanah tersebut.

Sebarang penyelewengan terhadap Tanah Rezab Melayu adalah satu pengkhianatan kepada orang Melayu!

Amir Hamzah b Hj Mohamad
Setiausaha, PERKASA Johor

SUAMI LUMPUH ISTERI KEMALANGAN JALANRAYA



Perkasa kawasan Desa Paya Mengkuang bersama-sama Biro Hal Ehwal Pengguna (BHEP) UMNO Bahagian Gelang Patah menziarah Adam Bin Yahya yang menghidap sakit Lumpuh dan isteri beliau yang terlibat dalam kemalangan jalanraya baru-baru ini pada 1 Mac, 2011, jam 10.30 malam di rumah Adam di Desa Paya mengkuang, Gelang Patah, Johor.

Rombongan tersebut menghulurkan bantuan dalam bentuk wang tunai hasil kutipan oleh BHEP dan Perkasa Kawasan kepada pasangan yang malang itu. Adam dan isteri yang terharu dengan kedatangan rombongan menyatakan kesyukuran dan terima kasih diatas kunjungan dan bantuan tersebut.

Pengerusi BHEP Ir Hj Mohd Nasir Hashim yang perihatin dengan nasib yang menimpa Adam dan isteri akan berusaha mendapatkan bantuan dari pihak kerajaan mahupun pihak swasta bagi merengankan beban hidup pasangan tersebut.

Pengerusi Perkasa Kawasan yang juga Ketua Wira Perkasa Johor Bahru Sdra Shahrullizam A Samad menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada BHEP dan beliau mengharapkan agar pihak-pihak yang bertanggungjawab menghulurkan bantuan dengan segera.

Kunjungan tersebut turut dihadiri Ketua Penerangan Perkasa Johor Bahru Hj Arbain Bunjamin dan AJK serta Naib YDP1 Perkasa Johor En Samat Atan.