Rabu, 28 September 2011

Kerajaan Johor Perlu Pantas Bertindak!

Berdasarkan sedutan transkrip temu ramah Lim Guan Eng dengan FCA di Singapura yang menyatakan 'Pulau Pinang berada di tempat pertama tahun lalu dari segi mengatasi jenayah iaitu sebanyak 27 peratus.Bagi tempoh enam bulan pertama juga jenayah dikurangkan sebanyak 25 peratus. TETAPI DI JOHOR, SESEORANG WARGA SINGAPURA BOLEH DICULIK'. Anda tidak akan alaminya jika datang ke Pulau Pinang.

Kenyataan yang tidak beradab ini akan menjejaskan pelaburan asing di Johor kerana antara faktur menarik pelabur asing ialah kestabilan politik, kemudahan dan prasarana dan tidak ketinggalan faktur keselamatan.

Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang itu telah menjejaskan hubungan setiakawan antara negeri-negeri dalam Persekutuan tetapi sekali gus membawa imej buruk kepada negara. Sedikit masa dulu, Menteri kanan Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) bernada sama ke atas Johor dengan mendakwa Johor adalah negeri yang tidak selamat kerana banyak berlaku jenayah. Adakah ini satu serangan berterusan ke atas Johor daripada sebuah negara yang berjiran dengan yang terbaru daripada Ketua Menteri sebuah negeri di dalam Malaysia?

Adakah ini satu taktik pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat memburuk-burukkan negara sendiri di luar negara seperti yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim di Indonesia yang tidak mahu mengakui batik Malaysia mempunyai pelbagai keunikan termasuk corak dan rekaan khususnya batik Terengganu.

Perkara seumpama ini tidak boleh dibenarkan berlaku dan berulang di masa hadapan. PERKASA Negeri Johor membantah keras tindakan biadap Lim Guan Eng seperti mana yang telah dibantah oleh UMNO Johor dan Pemuda Barisan Nasional Johor.

Desakan meminta Lim Guan Eng memohon maaf seperti rakyat Johor mendesak Lee Kuan Yew tidak mencukupi. PERKASA Johor mendesak Menteri Besar Johor membawa usul di Dewan Undangan Negeri untuk menyaman Lim Guan Eng dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas keceluparan mulut Ketua menteri tersebut. Jika Kerajaan Johor dan Menteri Besar terus membisu, seolah-olah mengiyakan kenyataan Lim Guan Eng tersebut. Tindak balas ini adalah bertujuan memberi keyakinan semula kepada pelabur-pelabur asing dan menyatakan kenyataan Lim Guan Eng itu satu dusta.

PERKASA Johor mendesak Kerajaan Negeri dan Menteri Besar bertindak secepat mungkin untuk mengambil tindakan undang-undang kerana keceluparan Ketua Menteri itu meninggalkan impak besar kepada pelaburan di Iskandar Malaysia dan di Senai Hi-Tech Park.

Kelesuan Kerajaan Negeri bertindak tegas mengecewakan banyak pihak khususnya rakyat negeri Johor sendiri. Mereka berpendapat soal undi, sokongan dan politik kepartian dikesampingkan kerana yang lebih utama adalah maruah dan kedaulatan negeri telah diperlekehkan.

Kerajaan Negeri dan Menteri Besar harus bangkit daripada ketakutan kehilangan undi untuk menggerakan sokongan rakyat, pertubuhan-pertubuhan NGO, Badan-badan sukarela dan seluruh rakyat Johor untuk bangun menentang. PERKASA Negeri Johor tidak wajar bertindak dengan membelakangkan kerajaan negeri kerana ianya melibatkan kepentingan dan pentadbiran kerajaan negeri sendiri. Sedangkan PERKASA hanyalah sebuah Badan Bukan Kerajaan.

Cukup-cukup lah kita dihina dengan pembatalan jambatan bengkok, penjualan pasir , pencerobohan ruang udara oleh jet-jet pejuang tentera negara jiran dan kehilangan Pulau Batu Putih. Kini sekali lagi Johor dicabar dengan kenyataan yang dangkal, dendam dan mempunyai niat busuk, maka perlukah lagi Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar mendiam diri.

PERKASA Johor mahu Menteri Besar mengetuai kebangkitan dan kemarahan rakyat dengan mempertahankan Negeri Johor daripada berterusan dihina. Di dalam isu ini PERKASA Johor sentiasa di belakang Kerajaan Negeri dalam mempertahan maruah kepimpinan bangsa dan kedaulatan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.


Amir Hamzah Mohamad
Setausaha,
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negeri Johor.

Tiada ulasan: