Ahad, 28 November 2010

KENYATAAN AKHBAR PERKASA DAERAH JOHOR BAHRU



BERKAITAN DENGAN ‘PENDUDUK BERANG – PROJEK BINA SURAU TIDAK DAPAT DILULUSKAN’ - HARIAN METRO BERTARIKH 17/11/2010

Perkasa Daerah Johor Bahru merasa kesal diatas kegagalan pihak kerajaan Negeri Johor dalam menangani isu pembinaan surau di Taman Impian Emas, Skudai, Johor Bahru sehingga pihak berkuasa kerajaan tempatan MPJBT merampas bahan-bahan binaan di tapak pembinaan surau tersebut dan rampasan dilakukan pada petang menjelang umat Islam menyambut kedatangan Hari Raya AidilAdha telah menyentuh perasaan umat Islam di taman tersebut.

Atas tindakan yang telah dibuat telah membangkitkan perasaan sedih dan tidak puas hati dikalangan umat Islam di sekitar daerah Johor Bahru. Tindakan tanpa mempertimbangkan perasaan orang Islam seumpama ini mencabar kesabaran dan tolak ansur orang-orang Islam dalam memperkukuhkan perpaduan bangsa di tanah air.

Perkasa Daerah Johor Bahru amat bersimpati dengan penduduk-penduduk Islam di taman tersebut yang telah berusaha mengumpul dana sehingga berjaya mencapai pungutan sebanyak RM54,000.00. Usaha dan tindakan yang dibuat oleh penduduk Islam setempat dalam membina sebuah surau bagi kemudahan umat Islam menunaikan solat berjemaah 5 waktu sehari di tempat tersebut hancur akibat keputusan kerajaan menghalang pembinaan surau tersebut, sedangkan kelulusan geran tanah telah diperolehi dan cukai tanah telah dijelaskan pada 02/11/2010.

Perkasa Daerah Johor Bahru juga bersedia menyokong usaha-usaha penduduk Islam di Taman Impian Emas merealisasikan pembinaan surau yang dicadangkan selaras dengan tujuan dan matlamat penubuhan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara iaitu memperkasakan Islam sebagai agama Persekutuan, mempertahankan hak-hak dan keistemewaan orang Melayu, memperkasakan kaum pribumi dan bangsa Melayu dan mempertahankan kedaulatan negara.

Perkasa Daerah Johor Bahru berharap tindakan tegas dapat diambil oleh pihak kerajaan Negeri Johor demi menegakkan Islam sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan dengan kesedaran kearah perpaduan masyarakat setempat.

ROSLI BIN OTHMAN,

NAIB PENGERUSI,

PERKASA DAERAH JOHOR BAHRU

Tiada ulasan: