Selasa, 13 Julai 2010

Bukti UMNO Tidak Menaja PERKASA


Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz menegaskan, Umno tidak sama sekali menyokong atau mengiktiraf PERKASA adalah merupakan satu kelebihan kepada PERKASA. Sudah terang lagi bersuluh bahawa penubuhan PERKASA bukan NGO tajaan UMNO. Sekaligus mematikan dakwaan pakatan pembangkang bahawa UMNO menaja penubuhan PERKASA.

Walaupun Nazri tidak menyokong atau mengiktiraf PERKASA itu tidak penting kerana Nazri bukan orang penting dalam UMNO. Lebih penting daripada itu beratus ribu orang Melayu menyokong PERKASA dan berlumba-lumba mengisi borang keahlian PERKASA. PERKASA terbuka kepada semua orang Melayu dan bumiputera tanpa mengira pegangan dan haluan politik masing-masing. Selagi mana orang Melayu mahu mempertahankan perlembagaan dan undang-undang yang memelihara hak-hak istimewa Melayu boleh sertai PERKASA.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menambah, Umno menentang amalan sebarang bentuk sikap perkauman.Oleh itu katanya, idealisme PERKASA, pertubuhan yang berusia hampir dua tahun itu, tidak selari dengan fokus pentadbiran Najib yang menekankan pluraliti dan perpaduan. “Kita harus mengetepikan sama sekali PERKASA. Mengapa saya kata begitu? Ini kerana PERKASA tidak seiring dengan konsep 1Malaysia Datuk Seri Najib,” kata beliau.

PERKASA bukan perkauman seperti yang didakwa oleh Nazri. PERKASA adalah NGO yang berjuang atas dasar politik yang mempertahankan perkara 153 perlembagaan negara. Malah PERKASA sebenarnya asas kepada gagasan 1 Malaysia yang mempunyai matlamat akhirnya perpaduan nasional. Apabila semuanya kembali mematuhi perlembagaan, saling memahami dan menghormati hak-hak kaum masing-masing seperti yang tertulis di dalam perlembagaan maka negara ini dijamin dalam keadaan selamat dan aman. Lebih-lebih lagi yang melibatkan kepentingan Melayu yang dilindungi oleh undang-undang . Ianya perlu dihormati dan tidak boleh dipertikai. Ini lah kontrak sosial antara Melayu dan bukan Melayu di mana kewarganegaraan menjadi galang gantinya.

Ianya sama dengan dasar affirmatif seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kelihatan DEB itu bersifat perkauman tetapi matlamat akhirnya adalah perpaduan nasional apabila jurang ekonomi antara Melayu dan Bukan Melayu cuba dirapatkan. Sehingga sekarang pun DEB masih belum mencapai sasaran 30% kekayaan negara agar dimiliki oleh Melayu dan bumiputera. Adakah DEB dan Tun Abd.Razak itu racist? Sudah tentu tidak kerana sudah menjadi tanggung jawab kerajaan waktu itu untuk memberi hak keistimewaan itu kepada orang Melayu dan bumiputera yang rata-rata daif dan miskin.

Fasal 4- Tujuan dan matlamat PERKASA yang ke 6 adalah mempertahankan kedaulatan negara. Sudah tentu keselamatan negara dan rakyat menjadi keutamaan. PERKASA tidak berniat menghancurkan negara ini dengan membangkitkan isu-isu perkauman sehingga boleh menimbulkan perbalahan. PERKASA cuma mahu membawa rakyat memahami perlembagaan yang melibatkan perkara-perkara yang disebutkan supaya tidak ada lagi perkara-perkara yang dipertikaikan. Jika ianya dipertikaikan maka akan mengundang ketidakpuasan hati PERKASA dan orang Melayu.

Komen dan kritikan Nazri ke atas PERKASA mudah difahami. PERKASA mendapat sokongan penuh daripada mantan PM, Tun Mahathir. Mesyuarat Agung PERKASA yang pertama diselamatkan oleh Tun setelah DYMM Sultan Selangor tidak dapat berangkat ke majlis perasmian. Semua orang tahu hubungan dingin Nazri dan Tun M. Apabila Tun M menyokong penuh PERKASA, mungkin kah Nazri akan menyokong PERKASA? Sudah tentu tidak. Kritikan ke atas PERKASA dalam waktu yang sama seolah-olah menyindir Tun M.

Walau apa pun PERKASA akan meneruskan agenda perjuangannya. Agak membanggakan juga kerana PERKASA semakin popular dan diminati ramai. Semuanya adalah hasil pengiklanan yang dibuat oleh Pakatan Pembangkang, MCA, MIC, KJ dan Nazri.

Amir Hamzah
Batu Pahat

Tiada ulasan: