Jumaat, 2 Julai 2010

PMR Dan STPM Wajar Dimansuhkan


Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di masa hadapan.

Alasan Muhyiddin adalah kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya. Beliau berkata dengan hanya satu sahaja peperiksaan awam, guru dan pelajar boleh menumpukan usaha ke arah menggilap kreativiti, sifat interaktif dan aktiviti ko-kurikulum lain, serta sukan.

Muhyiddin secara peribadi juga berpendapat hanya perlu ada satu peperiksaan awam sahaja bagi menilai pencapaian pelajar iaitu di peringkat akhir persekolahan atau sebelum memasuki institusi pengajian tinggi kerana di dalam soal kerjaya pun hanya SPM sahaja yang digunakan.

Sebagai rakyat Malaysia saya berpendapat ujian atau penilaian adalah penting untuk pengukuran kepada keberkesanan sistem atau proses pengajaran atau pembelajaran. Peperiksaan awam ialah satu peperiksaan setara diseluruh negara yang wajib diduduki oleh semua pelajar. Peperiksaan ini adalah alat pengukur atau penentu kepada keperluan kementerian dan negara.

Saya melihat, idea ini timbul adalah kerana kos atau perbelanjaan peperiksaan awam ini terlalu tinggi kerana bilangan pelajar yang menduduki peperiksaan ini semakin ramai. Jikalau dahulu, sebahagian kos ditanggung oleh pelajar dengan membayar yuran peperiksaan tetapi kini dengan tiada lagi yuran peperiksaan dan yuran persekolahan maka tanggung jawab itu terletak di bahu kerajaan. Maka faktur utamanya adalah kos peperiksaan awam menjadi bebanan kepada kerajaan.

Bagi membantu kerajaan mengurangkan beban ini, sebahagian daripada kita bersetuju untuk menghapuskan peperiksaan awam UPSR dan PMR. Jika dikira kos kedua-dua peperiksaan ini, kerajaan mungkin dapat menjimatkan lebih 50% kos keseluruhan peperiksaan awam yang melibatkan UPSR, PMR, SPM dan STPM.

Adalah tidak begitu adil jika kita bersetuju menghapuskan UPSR dan PMR semata-mata kerana untuk menjimatkan perbelanjaan tetapi dalam masa yang sama sistem pendidikan kita menjadi caca marba.

Secara umumnya saya hanya mencadangkan agar PMR dan STPM sahaja wajar dihapuskan tetapi terus mengekalkan UPSR dan SPM. UPSR adalah alat mengukur pencapaian pelajar di peringkat rendah sementara SPM adalah pengukuran pencapaian pelajar di peringkat menengah. Pelajar rendah akan belajar selama 6 tahun dan diuji dengan UPSR sementara 5 tahun di peringkat menengah akan diuji dengan SPM.

Selepas ujian UPSR di peringkat rendah, pelajar-pelajar boleh diasingkan mengikut aliran sama ada sastera, sains, teknikal atau kemahiran apabila naik ke tingkatan 1. Tidak perlu lagi ujian khas untuk mereka bagi menentukan arah aliran dan hala tuju mereka selepas tahun 6. UPSR juga boleh dijadikan tanda aras bagi pemilihan pelajar ke asrama penuh. Setelah menerima aliran pendidikan daripada tingkatan 1, pelajar akan belajar selama 5 tahun untuk satu lagi peperiksaan yang menentukan kerjaya, pendidikan lanjutan sama ada berbentuk akademik, teknikal dan kemahiran.

Untuk mencapai keberkesanan sistem penilaian baru ini, sekolah rendah perlu diperkasakan. Masalah kemahiran membaca, menulis dan mengira mesti diselesaikan di sekolah rendah. Tidak ada lagi pelajar buta huruf di sekolah menengah.

Daripada UPSR juga kementerian sudah boleh memilih koata pelajar aliran sastera 40% dan sains 60%. Dengan tempoh pembelajaran 5 tahun dalam setiap aliran pelajar berkemungkinan lebih mahir dengan kemahiran dan pengetahuan yang diberi sebelum melanjutkan pelajaran ke IPTA/ IPTS, Institut Kemahiran atau alam kerjaya.

Dengan hanya 2 peperiksaan awam ini iaitu UPSR (Sekolah Rendah) dan SPM (Sekolah Menengah) akan memberi ruang yang lebih luas kepada guru dan pelajar untuk mengasah bakat dan kreativiti mereka dalam bidang-bidang yang lain seperti seni lukis, muzik, sukan dan kebudayaan misalnya. Kita juga semakin tandus dengan penglibatan pelajar dalam drama dan teater, pengucapan awam seperti pidato, perbahasan dan perdebatan, berbalas pantun dan lain-lain. Kita juga ketandusan qari dan qariah, penulis tulisan khat dan sebagainya kerana ibubapa dan pelajar lebih menumpukan kepada tiusyen dan peperiksaan. Tidak dinafikan, pada masa ini aktiviti-aktiviti yang disebutkan ada di sekolah-sekolah tetapi tidak menjadi satu budaya pembelajaran dan pengajaran. Jika ada hanya dengan tujuan pertandingan dan sudah tentu tidak melibatkan keseluruhan pelajar.

Dalam masa yang sama, bidang sukan dapat dimajukan terutama dengan saranan menteri pelajaran agar 'seorang pelajar satu sukan'. Tanpa terlalu merisaukan tentang peperiksaan, pelajar boleh melibatkan secara aktif dalam sukan. Cuma kerajaan perlu memberhentikan membina bangunan baru sekolah di kawasan padang sekolah kerana kebanyakan sekolah hari ini terpaksa mengorbankan tanah kawasan padang untuk pembinaan bangunan tambahan sekolah yang baru.

Selain daripada sistem peperiksaan yang perlu dikaji semula, suka saya mencadangkan agar sistem pendidikan secara keseluruhan juga sudah boleh dibuat pengubahsuaian atau dirombak berdasarkan kepada sistem peperiksaan yang telah diubah. Pengiktirafan tidak seharusnya diberikan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi pelajar yang mempunyai bakat yang luar biasa dalam bidang bukan akademik juga perlu diberi perhatian. Misalnya dalam bidang kesenian dan kebudayaan, pertukangan, pertanian, bahasa dan penulisan, sukan, permotoran , keusahawanan dan sebagainya. Mereka bukan sahaja boleh mengilap bakat mereka tetapi boleh meneruskan pengajian secara formal sehingga boleh menjadi kerjaya hidup mereka. Mereka ini tidak hanya bergantung harap bekerja dengan kerajaan dan swasta semata-mata tetapi boleh berusaha sendiri untuk meneruskan kehidupan berdasarkan bakat dan kemahiran yang ada.

Pada umumnya sistem peperiksaan sudah wajar dinilai semula tetapi untuk jangkamasa panjang sistem pendidikan keseluruhannya juga perlu dirombak kerana sistem yang ada pada hari ini telah menghakiskan bakat-bakat semula jadi manusia Malaysia kerana tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya seperti mana mereka yang cemerlang di dalam bidang akademik.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Tiada ulasan: