Rabu, 19 Mei 2010
Nasib Baik Ada Undi Pos.
Tidak susah untuk mengagak keputusan dalam PRK Sibu baru-baru ini. Sentimen perkauman selepas PRU ke 12 dulu nampaknya masih berterusan hingga ke hari ini malah akan berpanjangan ke PRU ke 13. Signal keputusan PRK Sibu ini ditujukan kepada Najib untuk PRU 13 dan Taib Mahmud dalam Pilihanraya negeri Sarawak tidak lama lagi.
PRK P94 Hulu Selangor telah memberi satu amaran bahawa undi Cina tetap tidak berganjak malah bertambah 37% kepada Pakatan Pembangkang. Apatah lagi jika Parlimen Sibu yang didominasi oleh 67% pengundi Cina.
Di Sibu, Wong Ho Leng daripada DAP telah berjaya meraih 18,845 undi, manakala calon BN Robert Lau Hui Yew memperolehi 18,447 undi. Calon Bebas Narawi Harun hanya mendapat 232 undi. DAP menang dengan majoriti 398 undi.
Dalam pilihan raya umum 2008 yang lalu, BN telah berjaya mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,235 mengalahkan Wong Ho Leng daripada DAP dan juga calon PKR. Kini BN telah kehilangan 2,837 yang menjarakkan kemenangannya dalam PRU12. Undi pos yang berjumlah 2,537 telah mendekatkan lagi majoriti kecil yang diterima oleh DAP. Nasib baik ada undi pos, jika tidak BN akan kalah lebih teruk lagi. BN menerima undi pos sebanyak 2,322 undi, manakala DAP memperolehi 70 undi. Calon Bebas pula hanya mendapat 30.
Apa pandangan rakyat bawahan berkenaan keputusan di Sibu ini:
1. Pengundi Cina telah memberi amaran berkali-kali seperti di PRU Bukit Gantang dan Hulu Selangor bahawa mereka sudah kurang berminat dengan BN. Mereka lebih percaya kepada Pakatan Pembangkang yang diterajui oleh Anwar Ibrahim. Anwar lebih diminati berbanding Najib. Najib tidak sebijak dan secerdik Anwar.
2. Anwar tidak mengeluar modal yang banyak tetapi berbekalkan isu-isu panas yang gagal ditepis oleh pelobi-pelobi BN. Anwar dan DAP bukan lagi memainkan isu bangsa tetapi isu agama Kristian. Perdana Menteri kata jentera BN lembik . Klik di sini.
3. Jutaan ringgit yang ditaburkan Najib tidak mengaburi mata pengundi Cina di Sibu. Mengapa baru ditabur sekarang sedangkan BN sudah 28 tahun menguasai Sibu. Wang ringgit hanya gula-gula pilihanraya. Bagi pengundi Cina mereka lebih meminati Pakatan Pembangkang kerana mereka ada agenda lebih besar. Menguasai Sarawak dan Malaysia.
4. BN perlu mengambil langkah drastik dan berani. Selesaikan masalah dalaman SUPP. Ada makluman berlaku sabotaj di kalangan SUPP sendiri.
5. Tukar Taib Mahmud. Beliau sudah menjadi Ketua menteri terlalu lama dan sudah terlalu kaya. Dalam pilihan raya baru-baru ini, nama Taib Mahmud sudah dimomok-momokkan. Perang saraf yang digendangkan oleh Pakatan Rakyat yang menyebut jika mengundi SUPP samalah juga mengundi 'Taib Mahmud' merupakan satu sindiran tajam terhadap kepimpinan negeri Sarawak yang diterajui oleh Taib Mahmud.
6. BN jangan tabur projek semasa pilihanraya, 18 Juta tidak boleh membeli undi Cina. kalau sudah tau kecenderungan pengundi Cina mengapa perlu membazir sedangkan ramai lagi pendokong kerajaan masih serba serbi kekurangan. Mengapa BN buat-buat buta dan tuli terhadap senario pengundi Cina pada masa ini.
6. BN perlu memberi tumpuan yang lebih kepada kawasan ramai pengundi Melayu dan Bumiputera seperti Sabah, Sarawak, Pahang, Johor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor. Kerusi-kerusi ini menjadi penentu kemenangan BN dalam pilihanraya ke 13.
7. Slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri juga dilihat tidak memberi impak kepada masyarakat Cina. Pilihan raya kecil di Hulu Selangor baru-baru ini telah menjadi bukti betapa pengundi-pengundi golongan ini masih terkeliru dengan wawasan 1Malaysia yang menuntut hak kesamarataan sebagai sebuah 'bangsa Malaysia'.
Sudah terang lagi bersuluh....
Amir Hamzah b Hj Mohamad
Setiausaha PERKASA Johor
Khamis, 13 Mei 2010
DAP Memang Biadap!
Zulkifli Nordin menulis..........
MP Kulim Bandar Baru (Bebas)
Salam 2 all.
Saya mengutuk keras kebiadapan DAP yang angkuh mempermainkan isu kalimah ALLAH dalam kempen pilihanraya kecil Sibu walaupun larangan telahpun dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Ini jelas satu sikap kurang ajar yang mencabar bukan sahaja pihak berkuasa, tetapi juga umat Islam.
Adalah jelas DAP langsung tidak menghormati aqidah dan sensiviti umat Islam. Keangkuhan dan kebiadapan DAP ini sudah sampai keperingkat yang mereka merasakan mereka boleh berbuat apa sahaja dan tidak boleh disentuh langsung!
Mereka mendesak secara terbuka supaya Kerajaan menarik balik rayuan yang dibuat ke Mahkamah Rayuan dan membenarkan pihak Kristian menggunakan kalimah ALLAH dalam bentuk triniti yang ALLAH punya anak! Dan untuk menghalalkan tindakan dan tuntutan mereka, DAP telah membawa masuk PAS sebagai penyokong mereka.
Dalam satu majlis “Christian Fellowship of Pakatan Rakyat” di Sibu semalam, calun DAP Wong Ho Leng menyatakan “PAS boleh mengisytiharkan bahawa langsung tidak ada apa-apa larangan didalam Al Quran yang melarang penggunaan kalimah (ALLAH ini oleh golongan Kristian)…” (sila lihat lapuran dibawah).
Saya sangat sedih melihat parti yang dahulunya dikenali dengan perjuangan Islam yang jelas, dan menjadi harapan sebahagian orang Melayu untuk membawa agenda perjuangan mendaulatkan Negara Islam dan Daulah Islamiyyah, boleh bersekongkol dengan perkara saperti ini.
Sudahlah di pilihanraya kecil Hulu Selangor calun yang pernah mempertikaikan perlaksanaan enakmen hudud, qisas dan ta’zir diberi sokongan penuh oleh kepimpinan PAS!
Persoalan besarnya ialah, apa nak jadi dengan PAS?! Saya menyeru kepada ahli akar umbi PAS yang saya yakin sangat komited dengan perjuangan Islam, saya menyeru kepada pendakwah dan pejuang Islam didalam PAS yang sangat ikhlas dalam perjuangan mereka, saya menyeru para ‘ulama dan ‘ilmuan Islam yang jujur yang masih ada didalam PAS, marilah selamatkan PAS daripada terus hanyut dalam buaian mimpi indah duniawi ini yang akan menghancur dan merosakkan PAS.
Marilah kita bawa balik PAS k2epada perjuangan Islam yang sebenarnya, berjuang diatas landasan Al Quran dan Sunnah. Janganlah kita persia-siakan pengorbanan Almarhum Dr. Burhanuddin Helmi, Almarhum Ustadz Zulkifli Mohamed, Asyahid Ustadz Ibrahim Libya dan ramai lagi yang telah berkorban harta dan nyawa untuk perjuangan Islam.
Tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Wallahua’lam. Moga ALLAH memberikan kita hidayah dan keimanan didalam fitnah aqidah yang melanda umat masakini, dan moga ALLAH memberikan keampunan kepada semua mereka yang masih mahu mempertahankan iman masing-masing. Memang kita sebenarnya sudah berada di akhir zaman, zaman fitan, zaman fitnah yang telahpun disabdakan oleh Rasulullah saw.
Kita dapat melihat dengan jelas DAP langsung tidak menghormati Mahkamah yang sedang dalam proses mendengar rayuan bersabit isu ini. Ini adalah satu penghinaan kepada Mahkamah. Dalam bahasa undang-undang, ini dipanggil sub-judis yang boleh dikenakan tindakan komital oleh Mahkamah.
Inilah golongan yang bila orang lain membuat komen kepada kes Mahkamah, mereka akan melalak kononnya kita tidak menghormati dan menghina Mahkamah. Contohnya dalam kes liwat yang sedang berlaku sekarang, langsung tak boleh nak komen. Sampai ada akhbar menyiarkan gambar katil tempat Saiful diliwat pun dia bising satu dunia, sampai nak penjarakan orang. Bila Dato Seri Nazri melabel pakar forensik mereka sebagai penipu kerana tidak mahu datang Mahkamah dalam kes Teoh Beng Hock, segera mereka melalak nak ambil tindakan menghina Mahkamah dan nak memenjarakan Dato’ Seri Nazri.
Tapi bila mereka sendiri secara terang-terang menghina Mahkamah dengan memainkan isu kalimah ALLAH, itu didakwa kononnya sebagai hak demokrasi, hak bersuara.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Rabu
28 Jamadil Awal 1431
12 Mei 2010
Rabu, 12 Mei 2010
SAR Pun Ada Hak Juga...
Tahniah saya ucapkan kepada seluruh kepimpinan dan ahli serta penyokong PERKASA.
Kali ini saya dapat melihat ada kebangkitan bangsa yang selama ini terlalu banyak bertolak ansur hingga segala hak yang termaktub di dalam perlembagaan pun sanggup di kompromikan demi kelangsungan politik.Suara PERKASA merupakan suara Bangsa Melayu yang kecewa dengan UMNO yang terlalu banyak berpolitik hingga hak bangsa di kompromikan.
Hari ini utusan Malaysia melapurkan "Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) meminta kerajaan supaya memberikan layanan setaraf dan adil kepada seluruh Sekolah Agama Rakyat (SAR), sama seperti yang dilakukan terhadap Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.Pada masa ini kerajaan telah memberikan bantuan yang begitu banyak kepada SJK sehingga berbilion ringgit hanya untuk membayar gaji gurunya sahaja sambil pada masa sama berterusan memberi bantuan prasarana dan kuasa autonomi.
Sedangkan jelas beliau, SJK itu pada hakikatnya bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan tetapi tetap diizinkan demi menjaga kepentingan dan keharmonian kaum di negara ini.Dan bantuan kepada SJK itu selama ini langsung tidak dipertikaikan oleh orang Melayu termasuk Perkasa.
Bagaimanapun, tegas beliau, berbanding SAR, kerajaan telah mengenakan pelbagai syarat bagi membolehkan bantuan penuh diberikan, walhal penubuhannya adalah selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai kepentingan dan hak istimewa Melayu dan agama Islam.
"Berilah sama adil kepada SAR sama seperti layanan baik kepada SJK, buktikan keprihatinan kerajaan melalui gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan," Kata Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali.
Perkara ini sebenarnya terlalu banyak di utara dan di suarakan oleh UMNO dalam setiap kali perhimpunannya samada peringkat bahagain mahupun di peringkat kebangsaan, malangnya suara hanya tinggal suara kerana UMNO takut di tuduh rasis, Inilah kelemahan UMNO yang mesti di ambil alih oleh PERKASA yang tidak terlibat dengan politik demi memperjuangkannya hak bangsa melayu. UMNO pula mestilah membuangkan mentaliti bahawa SAR akan melahirkan kader-kader yang akan membangkang kerajaan.
saya minta bukan sahaja layanan yang sama atau setaraf dengan SJK malah kerajaan mesti mengubah korikulum SAR supaya setara bagi seluruh negara dan sijilnya di iktiraf oleh Kerajaan, bantulah SAR agar menjadi sekolah bistari kerana hanya sekolah ini sahajalah yang pelajarnya 100% orang melayu.Kalau MRSM sekarang telah di nodai oleh 10% bukan melayu tapi SAR masih lagi dapat mempertahankan kesuciannya.
Teruslah berjuang wahai PERKASA, teruslah menghunus keris warisan mu,soal politik kamu serahkan sahaja pada UMNO. Kalau PERKASA terlalu berpolitik saya takut jadi macam UMNO, dah hunus keris, melutut mintak maaf pula.
Daripada:
Zalie Kulai
Selasa, 11 Mei 2010
Perkasa Pontian buat laporan polis terhadap Lim Guan Eng
PONTIAN 9 Mei – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Daerah Pontian membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana didakwa menghina pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian oleh Ketua Penerangannya, Haron Mohd. Amin di sini petang semalam.
Turut hadir, Pengerusinya, Datuk Ahmad Kosnan.
Dalam laporan itu, Perkasa menyifatkan Guan Eng telah mempersendakan tugas dan kredibiliti Ketua Polis Negara sebagai satu penghinaan kepada PDRM.
Sehubungan itu, Perkasa Pontian meminta Guan Eng menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada Tan Sri Musa Hassan dan seluruh anggota polis di negara ini.
“Kami melabelkan Guan Eng sebagai ejen propaganda dan merosakkan kedaulatan negara ini,” demikian menurut laporan tersebut.
Guan Eng pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Khamis lalu dilaporkan menganggap Musa tidak layak memegang jawatan tertinggi dalam PDRM kerana gagal menjadikan pasukan itu benar-benar cekap untuk melaksanakan tugas menjaga keamanan.
Beliau didakwa berkata, kes kematian remaja Aminulrasyid Amzah, 15, membuktikan anggota-anggota polis terlibat telah bertindak tanpa membuat pertimbangan yang wajar.
Perkasa Pontian juga menghantar memorandum kepada kerajaan supaya Guan Eng dirujuk di bawah Akta Hasutan kerana menimbulkan kebencian orang ramai kepada PDRM.
Jumaat, 7 Mei 2010
Orang Sendiri Yang Londehkan PKR dan PAS
Mengapa sebahagian lagi Melayu di negara ini masih kurang yakin dengan kedua-dua parti yang diketuai oleh orang Melayu iaitu PKR dan PAS yang sekarang ini duduk sekandang dengan DAP. Ada juga orang Melayu yang inginkan perubahan pucuk pimpinan negara agar UMNO 'memberi laluan' kepada gabungan PKR, PAS dan DAP untuk mentadbir negara ini. Itu dulu. Selepas beberapa siri PRK, nampaknya golongan ini sudah mula 'tarik break' agar perubahan itu TIDAK berlaku dan BELUM boleh berlaku sekurang-kurangnya selepas pilihanraya ke 13 nanti.
Apakah yang boleh digantungkan harapan kepada kedua-dua parti ini untuk menggalas harapan rakyat bagi menggantikan UMNO dan BN jika kedua-dua parti ini bukan saja semakin 'pekung' tapi pergolakan dalaman parti amat membimbangkan. Pendek kata tidak memberi gambaran yang meyakinkan kepada orang Melayu bagi menjaga kepentingan mereka.
Ramai orang Melayu gusar apabila melihat pergolakan dalaman di dalam PKR khususnya apabila pemimpin-pemimpin penting telah keluar parti menjadi wakil rakyat bebas atau menjadi ahli parti lain. Senario ini membuktikan ada sesuatu yang tidak kena terhadap kepimpinan tertinggi PKR. Dakwaan pemimpin-pemimpin yang keluar parti yang selalu kita dengar ialah sudah hilang kepercayaan terhadap Anwar Ibrahim, dasar-dasar parti yang sudah menyimpang daripada perjuangan asal, pilih kasih dan tiada persefahaman dengan beberapa pemimpin-pemimpin PAS.
Anwar Ibrahim sendiri gagal dalm usaha terakhirnya membuat rayuan (klik di sini)di Mahkamah Rayuan untuk menggugurkan kesnya juga telah menimbulkan rasa meluat dan jelek di kalangan orang Melayu yang tidak berpihak kepada mana-mana parti. Mereka mahu Anwar menang secara 'anak jantan' di mahkamah bukannya mencari helah untuk mengugurkan kesnya tetapi berhujah dan mempertahankan dirinya di mahkamah. Kalau kalah pun ianya adalah kekalahan yang 'bermaruah' dan jika menang tentunya akan melonjakkan semula Anwar dipersada politik tanah air.
Sudahlah kes liwatnya bertangguh-tangguh, perancangan 16 Septembernya juga gagal. Kegagalannya merampas Putrajaya telah mengecewakan banyak pihak sehingga ramai pemimpin-pemimpin PKR meninggalkan parti itu. Lebih memedihkan, pendedahan oleh rakan-rakan karibnya seperti Zahrain dan Zulkifli selepas keluar dan dipecat oleh PKR menyebabkan runtuhnya sedikit demi sedikit kepercayaan rakyat Melayu kepada Anwar. Jelas lah bahawa pemimpin-pemimpin PKR sendiri tidak bersatu, tikam menikam, sekat menyekat dan berebut kekayaan dan jawatan. Semuanya yang berlaku di dalam PKR adalah pendedahan ORANG-ORANGNYA SENDIRI bukan daripada pihak lain sama ada pihak lawan atau media. Apa lagi yang hendak orang Melayu gantungkan harapan kepada PKR?
Begitu juga PAS yang semakin kalut sejak akhir-akhir ini apabila ORANG-OARANG SENDIRI juga yang menelanjangi parti itu. Syed Azidi Syed Aziz@ blogger Kickdefella sudah bersedia untuk menjadikan pemimpin-pemimpin PAS gigit jari seandainya blogger bekas penjilat Husam itu membuka pekung PAS sedikit demi sedikit. Nik Aziz yang bersih dan suci itu pun diseret sama.(klik di sini) PAS tidak boleh selama-lamanya berselindung disebalik identitinya sebagai sebuah parti Islam yang dilihat tidak mungkin boleh berbohong. Mereka menggali lubang yang memerangkap diri sendiri.
Bagi orang kebanyakkan untuk memburuk-buruk pentadbiran Pak Lah tidak perlu mengeluarkan sejumlah wang yang banyak sehingga RM 4 juta. Tanpa publisiti yang meluas pun rakyat sudah dapat menghidu kelemahan itu. Husam Musa mengakui “PAS sering dibantu oleh jutawan serta golongan korporat yang ingin mendapat keredhaan Allah di atas apa yang mereka belanjakan,” Kalau itu sumbernya apakah redho si penderma jika duit yang didermakan bukan untuk fisabilillah tetapi untuk menjatuhkan seorang pemimpin Islam lain dengan cara memburuk-burukkannya. Husam pun dah mengaku, lagi pun apa yang hendak dipelikkan sangat, selain daripada derma-derma jutawan dan ahli koporat, Husam berkawan dengan parti yang banyak duit. klik di sini.
Husam yang lebih dikenali sebagai pihak PAS Erdogan yang rapat dengan Anwar Ibrahim semakin kalut dengan dakwaan blogger Kickdefella. Sejak berkawan dengan PKR, terlalu banyak isu-isu di dalam PAS yang membuatkan rakyat menilai bahawa PAS sudah banyak berubah terutama dari segi dasar perjuangan. PAS sanggup 'melacurkan' perjuangan yang telah disuburkan oleh pemimpin-pemimpin mereka terdahulu khususnya di zaman Fadhil Nor. Atas nama persahabatan antara PKR dan DAP, PAS sudah jarang menyebut perkataan Islam kecuali ketika bersama orang-orang Islam yang mereka perdaya. Rakyat sudah melihat tidak ada bezanya antara PKR dan PAS. Elok dibubarkan sahaja salah satu parti itu. Anwar masuk PAS atau Hadi masuk PKR?
Apa yang ingin ditekankan di sini ialah segala kemelut yang berlaku di dalam kedua-dua parti ini sebenarnya bukan datang daripada anasir luar tetapi oleh 'orang-orang sendiri' yang kecewa. Orang yang kecewa lambat laun akan memberi masalah kepada parti. PKR dan PAS sudah tersasar dan harapan mereka untuk mengantikan UMNO semakin tipis sebab sekarang mereka lebih teruk daripada UMNO.
Lihat lah DAP, mereka bukan sahaja mengurangkan krisis tetapi berjaya menenggelamkan MCA dan GERAKAN. Penangan DAP kepada MCA dan GERAKAN membuatkan parti itu menjadi seperti pengemis kepada pengundi-pengundi Cina. Sejak pilihanraya ke 12, undi Cina sudah beralih kepada DAP dan sekutunya. Bagaimana pula sumbangan PKR dan PAS meraih undi Melayu. Pilihanraya Kecil P94 Hulu Selangor telah membuktikan DAP jauh lebih berjaya daripada PKR dan PAS. DAP berjaya meraih 72% pengundi Cina dan menurunkan sokongan undi Cina kepada 27% sahaja kepada BN berbanding 38% pada PRU ke 12 lalu. Pilihanraya Umum akan datang undi Cina dijamin 85-90% akan disumbangkan kepada Pakatan pembangkang di semua kerusi parlimen seluruh negara. Dalam masa yang sama undi Melayu sudah berbalik kepada BN.Yang tinggal adalah penyokong-penyokong tegar mereka sahaja. Siapakah nanti yang lebih 'power' antara PKR, PAS dan DAP?
Pendek kata PKR dan PAS jangan salah orang lain terutama media dan musuh politik mereka. Salahkan diri sendiri dan belajarlah daripada DAP.
Amir Hamzah bin Hj. Mohamad
Setiausaha,
PERKASA Johor