Sabtu, 25 September 2010
Nepotisme Di Dalam PKR
Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Itulah jawapan Muhyiddin Yassin apabila diminta pandangan mengenai pengumuman Nurul Izzah Anwar untuk bertanding Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Apabila tiba pemilihan pucuk pimpinan parti politik baik UMNO, MCA atau MIC malahan PKR,PAS dan DAP pastinya akan mengamit perhatian rakyat untuk berbicara tentang kempen dan strategi calon-calon yang bakal bertanding. Ada juga yang mengikuti lebih dekat tentang visi, misi dan masa depan parti kesan daripada kemenangan seseorang calon itu untuk menduduki jawatan tertinggi parti.
Apa yang menarik perhatian sehingga Muhyiddin mengeluarkan peribahasa Melayu itu ada kaitan dengan reformasi pada tahun 1998 dahulu. Apabila menyebut reformasi kita tidak akan lupa dengan istilah kronisme dan nepotisme yang dipopularkan oleh Zahid Hamidi ketika memberi ucapan sebagai ketua pemuda dalam Perhimpunan Agung Pemuda UMNO tahun 1998.Rakyat faham ucapan Zahid adalah arahan Anwar yang ketika itu adalah Timbalan Presiden UMNO. Gerakan politik Anwar waktu itu sukar dibendung dengan menguasai hampir keseluruhan jentera parti bersama dengan team wawasan yang turut disertai oleh Najib, Muhyiddin dan Mohamad Taib.
Seingat saya, selepas ucapan Zahid yang menyentuh kronisme dan nepotisme itu, keesokan harinya di PWTC heboh dengan senarai penyenaraian pengerusi syarikat yang dipegang oleh Zahid berjumlah lebih daripada 300 buah syarikat. Bayangkan jika sebuah syarikat memberi elaun RM5 ribu sebulan, berapakah pendapatan Zahid dalam sebulan waktu itu? Itu baru pengerusi syarikat. Pendedahan oleh Tun M itulah agaknya menyebabkan Zahid tarik 'hand break' dan bersama UMNO semula. Jika tidak kerusinya di Bagan Datoh mungkin akan terlepas ke tangan orang lain dalam pilihanraya 1999.
Bagi generasi muda yang masih dibangku sekolah pada tahun 1998, mungkin tidak tahu antara agenda Anwar untuk menjatuhkan Tun M ialah dengan serangan persepsi kepada isu nepotisme dan kronisme. Di zaman pemerintahan Tun daripada 1981 hingga krisis politik UMNO tahun 1998 tidak ada anak Tun M yang aktif berpolitik baik Marina, Morhzani maupun Mukhriz. Cuma Tun M pernah berkata, adalah tidak adil untuk menyekat anak seorang Perdana Menteri berniaga kerana semata-mata beliau adalah seorang Perdana menteri ketika itu.
Namun begitu laungan reformasi sudah jarang sekali kedengaran. Adakah setelah menguasai dan mentadbir 4 negeri sudah banyak reformasi yang dibuat di negeri tadbiran Pakatan Pembangkang? Setelah Pakatan pembangkang mentadbir 4 negeri tidak wujud langsung apa yang dikatakan sebagai kronisme atau nepotisme? Adakah agihan kerja-kerja pembangunan di negeri-negeri terbabit khususnya di Selangor mengenepikan sama sekali kronisme dan nepotisme? Projek-projek oleh kerajaan negeri diagihkan secara terus atau melalui tender terbuka tanpa campur tangan pemimpin-pemimpin politik?
Kita tinggalkan dulu cerita itu. Tumpukan sekejap kepada nepotisme dalam keluarga Anwar. Apabila tiba musim pemilihan PKR kali ini, ianya menarik perhatian apabila PKR yang meneraju gerakan reformasi nampaknya seperti Paku Dulang Paku Serpih. Nepotisme yang diamalkan oleh keluarga Anwar sekarang lebih teruk daripada yang pernah berlaku dalam mana-mana parti politik di Malaysia. Anwar sebagai Ketua Umum PKR, Wan Azizah sebagai Presiden PKR dan mutakhir ini Nurul Izzah menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden PKR. Bukankah ini yang ditentang oleh golongan reformasi dahulu iaitu nepotisme yang mementingkan kaum keluarga dan saudara mara baik memegang jawatan politik atau pengagihan kekayaan?
Apakah muslihat Anwar tidak mahu bertanding presiden PKR juga menjadi tanda tanya. Beliau lebih selesa menjadi ketua umum PKR sedangkan di dalam perlembagaan PKR sendiri pun tidak ada nama jawatan ketua umum yang disandang oleh Anwar itu? Anwar nampaknya tidak boleh tidak untuk menyokong Azmin yang beliau boleh percaya. Kesetiaan Azmin menjadi sandaran Anwar walaupun Azmin tidak pernah merengkok di dalam lokap atau penjara kerana Anwar.Kata Ezam Mohd Nor di Agenda daily, Dia ditahan 10 kali di dalam lokap polis termasuk dua kali di penjara berbanding Azmin yang tidak pernah ke penjara kerana Anwar. Nurul Izzah dan Wan Azizah sendiri tidak 'berkenan' dengan Azmin tetapi Anwar tetap mahukan kroninya Azmin memegang jawatan Timbalan Presiden.
Jadi siapakah yang menjadi penentu kepimpinan barisan PKR Pusat....Anwar kah? Ahli kah? UMNO kah? PAS kah, DAP kah?atau kroni-kronikah?.Selalunya pertandingan begini memerlukan wang untuk berkempen. Tentu ada penyumbang yang sponsor gerakan kempen calon-calon. Perjudian dan pertaruhan ini akan terbalas dan berbaloi jika calon yang diusung itu menang dan bakal mempunyai kuasa dan kedudukan.
Pastinya nanti selepas kemenangan calon-calon akan wujud kroni-kroni baru. Yang kalah akan terbuang dan tersisih. Ahli-ahli PKR harus bersuara agar amalan nepotisme dan kronisme ini dapat dikurangkan walaupun tidak dapat dihapuskan terutama sekali yang berkaitan pengaruh keluarga Anwar di di dalam PKR.
Amir Hamzah
Batu Pahat
Apa Itu Kuasa Melayu?
Apa itu ‘kuasa Melayu’?
Oleh Dr. Hassan Ahmad
ORANG Melayu baru sedar bahawa ‘kuasa Melayu’ di negara ini akan pupus, atau setidak-tidaknya Melayu tidak akan berkuasa lagi di negeri ini. Beberapa tanda digunakan untuk membuat ramalan tentang kemungkinan pupusnya kuasa Melayu di negara ini.
Hasil Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas dianggap oleh orang Melayu sebagai salah satu tanda terhakisnya kuasa politik Melayu apabila UMNO dan rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) hilang kuasa majoriti 2/3 dalam parlimen dan jatuhnya negeri kuasa UMNO sejak kemerdekaan ke tangan Pas atau gabungan parti-parti Pakatan Rakyat, dan hilangnya pengaruh politik UMNO di Pulau Pinang. BN mula-mulanya kalah di Perak tetapi disebabkan tiga orang anggota DUN PR keluar parti dan menjadi anggota DUN mesra-BN, maka Mahkamah memutuskan bahawa BN-lah yang layak memerintah di negeri itu. Tetapi orang Melayu kekal memerintah di Kelantan, walaupun parti yang memerintah bukan BN/UMNO tetapi Pas.
Orang Melayu mungkin mengenang akan kuasa yang diwarisi oleh orang Melayu dari sejarah pemerintahan Melayu di negeri-negeri Tanah Melayu. Sejarah sebelum kemerdekaan menunjukkan bahawa sejak zaman berzaman, sebelum kedatangan penjajah Inggeris, yang memerintah di Tanah Melayu bukan orang lain tetapi orang Melayu, kerajaan Melayu, raja-raja Melayu, pembesar-pembesar Melayu. Benar, sejak Perjanjian Pangkor tahun 1874, British mulai ‘mencampuri’ urusan pentadbiran negeri Melayu, terutama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau Federated Malay States. Tetapi sejarah itu tidak menunjukkan bahawa kuasa pemerintahan Melayu jatuh sepenuhnya ke tangan kuasa baru, iaitu kuasa British. Tidak. Raja Melayu tetap bertahta (tidak diturunkan dari tahtanya) dan memerintah walaupun dengan ‘nasihat’ pegawai British. Di Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu (Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah-Perlis) pentadbiran masih hampir sepenuhnya berada dalam tangan raja Melayu, menteri besar Melayu dan para pegawai pentadbir Melayu. British cuma menjadi ‘penasihat’.
Tetapi akhirnya kerana kelemahan raja-raja dan golongan bangsawan Melayu yang memerintah bersama-sama British itu, kuasa politik Melayu makin lama makin merosot sehinggalah sampai pada tahun 1946 apabila British kembali ke Tanah Melayu (selepas Jepun kalah Perang) untuk mentadbir semula Tanah Melayu dan kemudian cuba mengubah status Tanah Melayu atau ‘British Malaya’ menjadi ‘koloni British’ melalui rancangan Malayan Union-nya.
Orang Melayu seluruh Tanah Melayu bangkit menentang rancangan itu, kerana kalau tidak ditentang Tanah Melayu akan menjadi tanah ‘Jajahan British’, raja-raja Melayu akan hilang hak dan kedaulatannya dan akan dijadikan subject raja British dan bangsa Melayu menjadi ‘rakyat British’ sama seperti halnya dengan Hong Kong, tidak lagi sebagai rakyat raja Melayu atau negeri Melayu. Semasa seluruh bangsa Melayu di Tanah Melayu, termasuk Melayu di Singapura, bangkit menentang rancangan Malayan Union itu kaum-kaum lain tidak menyokong protes itu. Mereka mungkin itu adalah masalah orang Melayu, masalah raja dan negeri Melayu, bukan masalah mereka. Pada masa itu mereka bukan rakyat raja atau negeri Melayu. Mereka adalah ‘orang asing’ atau ‘pendatang’. Jadi, mereka tidak turut membantah kerana menganggap Malayan Union itu ialah masalah Melayu bukan masalah mereka. Barangkali mereka suka Tanah Melayu menjadi koloni British dan mereka menjadi ‘rakyat British’ atau ‘British citizens’.
Malayan Union yang gagal itu digantikan dengan kesatuan baru yang disebut Federation of Malaya yang diperintah oleh raja baru, iaitu the British raj (seperti di India) yang diwakili di Tanah Melayu oleh Pesuruhjaya British sebagai ‘ketua eksekutif’. Tetapi Federation of Malaya itu sebenarnya ialah Federation of Malay States atau ringkasnya Persekutuan Tanah Melayu, bukan Persekutuan Malaya. Ini menunjukkan bahawa ‘negeri Melayu’ tidak dihapuskan seperti yang cuba dihapuskan oleh British melalui rancangan Malayan Union-nya. Ada ‘Negeri Melayu’ bererti ada raja Melayu, ada kerajaan Melayu. Kita menyebut ‘sejarah’ ini untuk menangkis pendapat yang mengatakan bahawa sebelum kemerdekaan ‘Negeri Melayu’ atau ‘Kerajaan Melayu’, atau dengan kata lain ‘kuasa Melayu’ sudah tidak ada lagi. Maka orang pun percaya - dan ini termasuk para pemimim Melayu - bahawa dalam tahun 1957 lahirlah sebuah ‘negara baru’ yang disebut negara Federation of Malaya (kemudian dalam tahun 1963, menjadi ‘Persekutuan Malaysia’), tidak lagi ‘persekutuan tanah Melayu’ atau ‘persekutuan negeri-negeri Melayu’. Ini suatu penghinaan kepada bangsa Melayu yang sudah mempunyai negeri atau negara atau kerajaan sejak sekurang-kurangnya abad ke-13 lagi.
Kemerdekaan
Selepas kemerdekaan, UMNO yang pada waktu itu mampu memerintah tanpa bergabung dengan kaum-kaum lain, sanggup berkongsi dengan kaum-kaum lain untuk memerintah negeri ini selepas British meninggalkan Tanah Melayu, demi ‘perpaduan kaum’ (konon!). Dalam PRU pertama (1956), UMNO memenangi lebih daripada 2/3 kerusi Parlimen. Calon-calon dari parti komponen Perikatan, iaitu MCA dan MIC, kalau saya tidak silap, semuanya atau hampir semuanya menang di kawasan yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu.
Itulah agaknya yang dimaksudkan oleh Melayu sebagai ‘kuasa Melayu’, iatu kuasa politik Melayu. Tetapi mengapakah sekarang orang Melayu takut ‘kuasa’ itu akan hilang? Apakah yang mereka takut: hilang kuasa UMNO atau hilang kuasa Melayu? Dalam Parlimen, orang Melayu masih merupakan golongan majoriti, kalau kita ambil kira kerusi UMNO, kerusi Melayu Pas, dan kerusi Melayu dari PKR. Kuasa Melayu untuk terus menjadi pemerintah di negeri ini tidak semestinya bererti kuasa UMNO sahaja.
Hari ini, sudah mulai banyak orang Melayu yang berkata, apa untungnya rakyat biasa Melayu jika UMNO terus memerintah. Mereka melihat sebahagian orang Melayu yang berkuasa dalam UMNO sudah tidak ada semangat dan jiwa Melayunya lagi, seperti ibu bapa mereka yang berarak menentang Malayan Union. Mereka dilihat tidak berani lagi ‘memperjuangkan’ nasib bangsa Melayu; UMNO baru ini dilihat semakin menyerah dan bertolak ansur dengan apa sahaja kehendak dan tuntutan orang bukan Melayu, termasuk hal-hal yang mereka tidak tuntut namun diberikan juga, konon untuk mengambil hati orang bukan Melayu, sedangkan tuntutan Melayu dituduh sebagai tuntuan ‘rasis’. Sama ada ini hanya persepsi orang Melayu terhadap UMNO sekarang atau ini memang kebenaran, UMNO kenalah kaji dengan jujur dan secara rasional untuk mengetahui sebabnya yang sebenar. Maka dalam keadaan nasib Melayu yang tidak menentu ini, lahirlah NGO Melayu yang dituduh ‘rasis’, iaitu Perkasa. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perkasa lahir kerana mereka menganggap UMNO tidak lagi sanggup atau mampu mempertahankan hak dan kepentingan bangsa Melayu.
Dalam PRU yang lepas banyak penyokong tradisional UMNO lari ke parti-parti lain, khususnya Pas. Apa sebabnya? Apakah mereka sudah kecewa dan hilang kepercayaan kepada UMNO sebagai parti yang dapat membela nasib mereka atau apakah mereka percaya bahawa Pas dapat menjadi parti Melayu sebagai alternatif kepada UMNO? Dasar-dasar apakah yang dibawa oleh Pas yang menarik perhatian mereka?
Masalah
Saya rasa masalah ‘kuasa Melayu’ tidak terletak pada mana-mana parti politik Melayu atau pada soal ‘kuasa politik’ parti semata-mata. Kuasa politik bukan ditentukan oleh parti politik tetapi oleh rakyat, oleh pengundi. Sama ada kita suka atau tidak suka inilah demokrasi. Kuasa politik bukan terletak pada UMNO, atau Pas, atau DAP atau PKR tetapi pada rakyat. Dan rakyat hari ini, terutama golongan muda - ini termasuk pengundi Melayu yang masih merupakan pengundi majoriti di negara ini - nampaknya tidak lagi memilih parti hanya berdasarkan sentimen kaum tetapi berdasarkan soal sama ada parti itu dapat memerintah negara dengan adil, saksama, seimbang, bersih, cekap dan amanah. Mereka melihat apakah parti itu dipenuhi oleh golongan manusia yang perasuah, orang yang hanya mementingkan diri sendiri, kekayaan sendiri dan kesenangan kaum keluarga dan sahabat handai mereka, atau apakah parti itu dipimpin oleh orang-orang yang bersih dari segala macam rekod moral yang buruk, orang yang bercakap bohong, orang yang lebih mementingkan ekonomi ‘pasaran bebas’, ekonomi mesra pasaran, daripada ekonomi atau pasaran mesra-rakyat.
Sehubungan ini saya teringat membaca suatu artikel dalam majalah Newsweek baru-baru ini yang menceritakan dasar ekonomi negeri China. Seorang pegawai tinggi kerajaan China berkata: In China we make the market economy to serve the people and the State, not the market, maksudnya, ‘Di negeri China ekonomi pasaran diarah berkhidmat untuk rakyat dan negara tidak untuk pasaran’. Barangkali kerana inilah China sekarang sedang berkembang untuk menjadi sebuah kuasa ekonomi dunia mengalahkan negara-negara Barat dan Jepun.
Kalau sesebuah parti Melayu diketahui oleh rakyat semua kaum sebagai parti yang ‘bersih’, yang akan memerintah dengan adil tidak kira kaum, saya kira semua kaum akan tertarik dengan parti itu. Ini soal prinsip, soal moral, bukan soal perkauman.
Jadi, soalnya, apakah dan siapkah yang salah jikalau ‘kuasa Melayu’ akan hilang. Jawabnya ialah, yang salah ialah orang Melayu sendiri, bukan kaum-kaum lain. Diberi kuasa yang banyak oleh rakyat, terutama pengundi Melayu, kuasa itu tidak digunakan dengan baik dan bijaksana; kuasa itu disalahgunakan, sehingga berlaku beberapa banyak skandal berlaku, skandal rasuah, skandal jenayah, skandal ekonomi. Selama 50 tahun orang Melayu mempunyai kuasa untuk mempertahankan hak dan kepentingan Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan, dalam soal dasar bahasa, dalam soal budaya dan lain-lain lagi, tanpa menjejaskan kepentingan kaum-kaum lain yang juga perlu diperjuangkan oleh penguasa-penguasa politik Melayu itu dengan adil dan saksama, sebagaimana dituntut oleh Perlembagaan, tetapi sejak mutakhir ini nampaknya keadaan orang Melayulah yang semakin terdesak. Maka lahirlah badan bukan kerajaan Melayu seperti Perkasa untuk mewakili suara dan keadaan rakyat Melayu yang terdesak itu.
Kemiskinan di kalangan orang Melayu, penduduk majoriti negara ini, dan kemiskinan di kalangan kaum lain juga makin meningkat. Jurang perbezaan antara golongan terkaya dengan golongan majoriti yang susah semakin membesar. Jikalau dasar ekonomi negara ini mesra-rakyat, keadaan ini sepatutnya tidak berlaku. Kita sibuk memajukan keadaan fizikal negara tetapi lupa memajukan keadaan moral rakyat dan negara serentak atau selaras dengan kemajuan materialistik.
Nasihat saya kepada orang UMNO ialah, tumpukan perhatian kepada reformasi atau transformasi moral dan budaya politik dalam UMNO. Ini akan menjadi asas atau ‘model’ untuk membolehkan UMNO menjadi ‘pejuang bangsa Melayu’ yang kredibel dalam bidang-bidang ekonomi, pendidikan dan sosial merentas kepentingan peribadi anggota-anggota parti itu sendiri. Saya tidak berkata bahawa ‘moral’ anggota-anggota dan kepimpinan parti-parti lawan semuanya bersih, hebat, cemerlang, Tidak. Yang penting ialah UMNO sebagai parti Melayu yang terbesar (atau masih terbesar?) hendaklah memperbaiki dan menampilkan imejnya sebagai parti yang benar-benar berjiwa ‘kebangsaan’, parti yang dapat menjadi pilihan utama rakyat, tidak sahaja rakyat Melayu tetapi juga rakyat bukan Melayu berdasarkan prinsip-prinsip keadilan, keseimbangan dan kesaksamaan merentas kepentingan kaum dan kepentingan peribadi para anggota parti.
Akhir kata, ‘kuasa Melayu’ tidak bererti kuasa untuk orang Melayu yang berkuasa melakukan apa sahaja menurut nafsu mereka, memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dan memusnahkan hak dan kepentingan bukan Melayu. Kuasa Melayu bererti kuasa untuk mentadbirkan negara dengan cekap, adil, bijaksana, bersih, bertanggungjawab untuk kepentingan negara, bukan untuk kepentingan etnik atau kepentingan golongan dan orang-orang perseorangan yang berkepentingan peribadi. Kuasa Melayu tidak bererti kuasa anti-bukan Melayu, atau hanya kuasa pro-Melayu, tetapi kuasa untuk semua rakyat, kuasa untuk mewujudkan kemajuan, kesejahteraan, kemakmuran untuk semua rakyat. Kalau ini maksud kuasa Melayu, tidak ada sebab mengapa rakyat mesti takut kepada kuasa ini. Yang kita takut ialah, jika kuasa Melayu ini diberikan kepada atau jatuh ke tangan orang Melayu yang tidak layak menerimanya dan tidak mampu menggunakannya dengan sebaik-baiknya untuk kepentingan negara.
Selasa, 14 September 2010
Siapakah KJ Hendak Membidas Utusan?
Khairy menulis di dalam Twitternya bahawa beliau “berpendapat akhbar tertentu itu perlu diingatkan siapa pemiliknya”. Kenyataan ini berdasarkan kepada akhbar milik Umno itu menyiarkan satu halaman penuh artikel-artikel yang mempertahankan NGO itu termasuk memuatkan bancian yang kononnya menunjukkan kebanyakan orang Melayu menyokong PERKASA.
“Saya penyokong pembaharuan supaya akhbar lebih bebas dan bertanggungjawab tetapi dalam paradigma hari ini, saya tidak boleh menerima bentuk editorial akhbar tertentu,” tulisnya. Meskipun Khairy tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataannya jelas ditujukan kepada Utusan.
1. Siapa yang menentang PERKASA daripada UMNO? Setakat ini hanya 3 orang penentang tegar PERKASA daripada pemimpin UMNO iaitu Tengku Adnan, KJ dan Nazri Aziz. Adakah 3 orang ini sudah menunjukkan bahawa UMNO secara keseluruhannya menentang PERKASA. Bagaimana dengan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO? Naib-Naib Presiden UMNO, MKT, Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang lain?
2. Berikut adalah petikan RESPON DS Najib sendiri dalam wawancara dengan CNBC terhadap PERKASA:-
NAJIB: Mereka tidak menentang kami. Mereka lebih berbicara mengenai hak Bumiputra. Sebenarnya, kami tidak menarik balik sebarang hak daripada Bumiputra tetapi kami memperkatakan biar kita lakukan dengan cara berbeza. Biar kita dapat hasil yang lebih baik. Biar kita capai sebuah masyarakat yang lebih saksama. Tetapi pada masa sama, berlaku adil kepada penduduk bukan Bumiputra. Kerana kami mahu membina 1Malaysia.
Kesimpulannya : Komen Najib kepada PERKASA masih positif
3. KJ perlu menoleh seketika sejarah penubuhan Utusan Melayu 1939 dan melihat perjuangannya.
4. SAID ZAHARI, bekas pengarang Utusan Melayu menulis bahawa, ``Utusan Melayu'' didukung oleh orang-orang yang berjiwa besar, orang-orang perjuangan yang tidak pernah takut dan gentar. Baik di kiri atau di kanan, mereka adalah anak-anak Utusan Melayu yang berani, penuh dedikasi dan mempunyai perasaan yang amat mendalam terhadap Utusan Melayu. Utusan Melayu lahir dengan semangat yang dibangunkan oleh kemiskinan dan keinsafan. Sesungguhnya Utusan Melayu adalah pusaka bangsa yang termulia yang terus mengharapkan kesetiaan, kejujuran, kemahiran, dedikasi dan ada kalanya pengorbanan yang besar dari pewarisnya sepertimana yang telah diberikan oleh orang-orang yang terdahulu.''
Dalam Utusan Melayu, wartawan tidak sekadar wartawan tetapi mereka adalah juga pejuang. Kebenaran ini tertegak sampai sekarang, keberaniannya tetap terserlah dan terus menempa satu demi satu sejarah dan terus menimbulkan kontroversi di luar dan di dalam parti. Ini jelas terlihat dari Yusoff Ishak, Samad Ismail, Said Zahari, Melan Abdullah, Mazlan Nordin, Zainuddin Maidin, Johan Jaffar dan di era Khalid Mohd.
Kalau sampai masanya Utusan Melayu tidak lagi menjadi kontroversi, maka itulah masanya Utusan Melayu telah kehilangan jati diri. Kerana jati dirinyalah maka Utusan Melayu terus menghantui mereka yang memusuhinya.
Saya rasa sebab itulah Utusan Melayu masih menyokong PERKASA walaupun ada 2-3 kerat pemimpin UMNO yang 'jaki' dengan PERKASA.
Amir Hamzah
Batu Pahat
Ahad, 12 September 2010
Takziah Dan Al-Fatihah
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,Datuk Seri Bakri Zinin awal petang Ahad mengesahkan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang hilang bersamanya sejak 30 Ogos lalu dibunuh dan mayat mereka dibakar di Ladang Gadong,Tanjong Sepat dekat Banting, Selangor.
Beliau memberitahu sidang akhbar bahawa abu mayat mereka telah dibuang di sebatang sungai dekat ladang berkenaan.
Katanya, polis menahan lapan orang termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan adiknya yang juga peguam serta empat pekerja ladang milik Datuk itu.
Menurut Bakri hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit itu seluas 1.6 hektar, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.
Kita hadiahkan Al-Fatihah kepada allahyarhamah dan allahyarham-allahyarham yang dibunuh secara kejam dan takziah kepada kaum keluarga masing-masing. Sesungguhnya akal fikiran yang waras manusia telah dinodai dengan bahan-bahan yang menghilangkan pertimbangan akal untuk berfikir sehingga munculnya sifat-sifat kebinatangan.
Semoga roh-roh mereka ditempatkan bersama roh-roh orang yang soleh dan solehah.
Amir Hamzah
Batu Pahat
Sabtu, 11 September 2010
Tengku Adnan Tidak Adil Kepada PERKASA
Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan UMNO tidak akan menyokong Ahli Parlimen Pasir Mas Ibrahim Ali jika bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon Bebas. Sebaliknya kata beliau, Umno akan meletakkan calonnya seperti yang dilakukan masa-masa lalu di kawasan Parlimen Pasir Mas, Kelantan. Malah beliau juga menolak tanggapan kebanyakan pihak bahawa Umno menjalin kerjasama ataupun memihak perjuangan PERKASA.
1. Satu pernyataan yang jelas bahawa UMNO dan PERKASA tidak ada kaitan langsungseperti mana yang didakwa pembangkang bahawa PERKASA adalah NGO tajaan UMNO. Kenyataan Setiausaha Agung UMNO itu mematikan perangkap pembangkang yang pasti akan memainkan isu ini. Adalah dijangkakan isu PERKASA akan dimainkan oleh Pakaran Rakyat dalam PRU 13 nanti.2. UMNO adalah parti politik sedangkan PERKASA adalah NGO Melayu. Disebabkan ianya adalah NGO maka ahli-ahli UMNO tidak segan silu menyertainya. Jikalau Ibrahim Ali menubuhkan parti baru yang dinamakan PERKASA, ianya tidak sehebat sekarang. PERKASA adalah pengimbang antara Siqui dan Hindraf. Jika kedua-duanya masih ada .mengapa PERKASA perlu dihalang.
3. Mengapa Chua Soi Lek tidak memberi amaran kepada Siqui ataupun Jiao Zong dan Dong Zong supaya tidak membuat tuntutan-tuntutan melampau melibatkan hak-hak istimewa Melayu bagi mengelak undi Melayu akan lari daripada menyokong MCA di kawasan-kawasan yang ditandingi MCA. Malah Presiden MCA itu sendiri yang membuat cadangan agar kepentingan 30% Bumiputera dalam ekonomi dihapuskan secara beransur-ansur. Mengapa Tengku Adnan tidak menasihati pemimpin MCA itu kerana tindakannya boleh menyebabkan pengundi Melayu akan melakukan protes yang boleh menyebabkan kemerosotan undi Melayu kepada BN?4. Mengapa Tengku Adnan tidak mengarahkan MCA dan Gerakan menjauhi Siqui yang nyata racist malah membiarkan MCA dan Gerakan menjadi alat kepada Siqui dalam membuat tuntutan?
5. Fasal 4: Tujuan dan Matlamat PERKASA ditubuhkan khas untuk tatapan Tengku Adnan, KJ dan Nazri Aziz.1. Memperkasakan Islam sebagai agama Persekutuan.
2. Memperkasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
3. Memperkasakan Kedaulatan Raja-raja Melayu
4. Mempertahankan hak-hak Istimewa orang Melayu
5. Memperkasakan Kaum Pribumi
6. Mempertahankan kedaulatan negara.
6. Bab tujuan dan matlamat PERKASA hanya menyebut dua perkataan sahaja yang kononnya menimbulkan kemarahan banyak pihak iaitu 'MEMPERKASAKAN' dan ' MEMPERTAHANKAN'. Dua perkataan ini tidak bermaksud menyerang malah hanya sekadar mempertahankan serta memperkasakan perkara-perkara yang sememangnya sedia terpelihara. Daripada 6 tujuan tersebut mana satukah yang menyalahi undang-undang negara?7. Jikalau Setiausaha Agung UMNO membuat kenyataan keras bahawa UMNO akan menjauhi PERKASA, maka rakyat melihat bahawa UMNO juga secara tidak langsung semakin jauh dengan 6 perkara yang disebut itu. Adakah Tengku Adnan membuat kenyataan setelah merujuk perlembagaan PERKASA atau tertekan dengan desakan parti-parti komponen BN? Tengku Adnan berkata PERKASA akan menyebabkan undi bukan Melayu akan lari ke PR, bagaimana pula dengan Undi Melayu yang merupakan majoriti di negara ini? Apa pula jaminan Tengku Adnan bahawa tanpa PERKASA, undi Cina dan India akan kembali kepada BN dalam PRU ke 13 sedang PRU ke 12, tanpa PERKASA pun BN hilang 5 negeri?
8. Jikalau Tengku Adnan bermusuh dengan Ibrahim Ali maka selesaikan di kantin parlimen jangan kaitkan dengan PERKASA yang Ibrahim Ali pimpin. Seperti juga KJ dan Nazri yang bermusuh dengan Tun M maka PERKASA menjadi mangsa oleh kerana Tun M adalah penasihat kepada PERKASA. Jika bukan Tun M menjadi penasihat kepada PERKASA, kemungkinan KJ dan Nazri menyokong dalam senyap penubuhan PERKASA.
9. Jikalau Tengku Adnan, KJ dan Nazri mengecam PERKASA tidak bermakna semua pemimpin UMNO tidak bersetuju dengan UMNO. Noh Omar dan Zahid Hamidi kelihatan selesa dengan PERKASA.10. Pendekata UMNO sebagai parti politik sedangkan PERKASA adalah sebagai NGO, kita lain reban.
11. Sepatutnya di Aidil Fitri, umat Islam meraikan kemenangan menahan nafsu di bulan Ramadhan. Namun kehadiran Syawal umat Islam di Malaysia semakin berpecah. Kenyataan Tengku Adnan memperlihatkan betapa kritikalnya perpaduan Melayu itu di tanah airnya sendiri.Amir Hamzah
Batu Pahat.
Rabu, 8 September 2010
Perjuangan PERKASA Bagaikan Ombak Tak Bertepi
1. Tidak ada apa salahnya PERKASA kerana apa yang diperjuangkan adalah mempertahankan perkara 153 yang telah tertulis di dalam perlembagaan. Sesiapa sahaja yang membuat tuntutan melebihi perkara 153 itu atau mencabarnya baik bukan Melayu atau Melayu sendiri akan ditentang. Kalau nak ubah sangat perkara 153 itu dapatkan lah majoriti 2/3 di Parlimen dan mendapat perkenan daripada Yang Dipertuan Agung serta persetujuan orang Melayu maka terpindalah perkara 153 itu. Pada hal perkara 153 itu dilindungi oleh ISA tetapi undang2 negara sekarang sudah jadi cacar marba. Kita beriya-iya mempertahankan ISA tetapi bila sudah sampai masa untuk digunakan maka tidak digunakan. Jikalau begitu hapuskan saja ISA supaya tidak menyakitkan hati rakyat yang menyokongnya.
2. Disebabkan undang-undang sedia ada tidak digunakan tepat pada waktunya maka perkara 153 sudah boleh dibahas di mana-mana oleh sesiapa saja sedangkan kebanyakkannya tidak ambil tahu tentang sejarah kewujudannya di dalam perlembagaan. Maka dimana letaknya kedaulatan undang-undang dan kemuliaan perlembagaan itu?
3. Belum pernah berlaku perkara-perkara sensitif dibahaskan secara terbuka dinegara ini tanpa sekatan dan tidak ramai yang tahu bahawa membincangkan perkara 153 secara sewenang-wenangnya dan semborono adalah satu kesalahan menghasut. Jadi salah siapa jika keadaan yang tidak tenteram ini berlaku?
4. Kerajaan sebagai pemegang kuasa wajar menyekat perkara ini dengan segera walaupun agak terlewat ,bukannya membiarkan sehingga menjadi nanah dan barah.Rakyat semakin hari semakin gelisah.
5. Jangan salahkan PERKASA kerana PERKASA mempertahankan perkara 153 itu disebabkan tidak ada pihak yang cuba mempertahankannya kerana masing-masing berebut undi. Jika kerajaan dapat mencegah lebih awal tentu PERKASA tidak selantang sekarang. Keadaan tentu akan menjadi lebih tenteram.
6. SU UMNO jangan salahkan PERKASA kerana PERKASA telah ambil alih kerja UMNO yang sepatutnya SU UMNO yang uruskan. Bukan asyik menjaga hati kawan-kawan Cina dan Indianya tetapi sepatutnya beliau menjaga keluhuran perlembagaan itu lebih utama.
7. Kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan di dalam rukun negara sudah dicampakkan ke dalam tong sampah oleh kebanyakan rakyat. Jika Rukun Negara itu dicipta untuk perpaduan maka sekarang menunjukkan perpaduan rakyat berada ditahap kritikan apabila undang-undang dan perlembagaan sudah dipermain-mainkan dan dipersenda-sendakan.
8. Waktu yang terdekat, PERKASA sewajarnya jangan gentar kerana tidak ada apa-apa kesalahan undang-undang yang dilanggar malah PERKASA mengangkat undang-undang itu di tempat sewajarnya kerana bukankah perlembagaan negara itu adalah undang-undang tertinggi negara.
9. KJ dan Tengku Adnan boleh tutup mulut kerana semakin banyak anda mengeluarkan kenyataan semakin meluat orang Melayu mendengarnya.
Amir Hamzah
Batu Pahat
Selasa, 7 September 2010
Serang PERKASA Bermakna Serang Melayu
Baca di sini dulu
Pilihanraya Umum ke 12, BN kalah 5 negeri. Ketika itu PERKASA belum wujud. Faktor siapakah yang menyebabkan 5 negeri hanyut ke Pakatan Rakyat dan hilang majoriti 2/3 di Parlimen? Hari ini mahu salahkan PERKASA sedang Pemuda UMNO dilihat sudah kehilangan telur. Sebelum salahkan orang, muhasabah lah diri sendiri...........
Mengapakah KJ geram dengan PERKASA?
1. Kebanyakan ahli UMNO ahli PERKASA dan tidak senang dengan KJ
2. Tun Mahathir menyebelahi PERKASA. Tun M juga musuh KJ.
3. PERKASA lebih lantang dan proaktif berbanding Pemuda UMNO dan salah satu sebab kewujudan PERKASA adalah kerana lemahnya PEMUDA UMNO di bawah pimpinan KJ.
4. Lain-lain sebab yang munasabah......hehehe
Amir Hamzah
Batu Pahat
Sabtu, 4 September 2010
Selamat Hari Lebaran.
Selamat Menyambut Hari Lebaran , Hari Raya Aidil Fitri, 1431H kepada seluruh umat Islam di mana saja berada khasnya kepada pengunjung-pengunjung Blog PERKASA Johor ini serta ahli-ahli PERKASA di seluruh negara. Maaf diminta atas segala komen, pendapat dan pandangan yang berbeza yang mungkin telah menguris hati sahabat-sahabat sekelian. Sekali lagi, Selamat menyambut Aidil Fitri dengan rasa kesyukuran serta raikan sebagai seorang muslim yang beroleh kemenangan.
Amir Hamzah
Batu Pahat
Khamis, 2 September 2010
PERKASA Johor Bahru Ambil Berat
Perkasa Daerah Johor Bahru (Diwakili Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Naib Pengerusi, Ketua Wira, Ketua Zon Gelang Patah , Pasir Gudang dan Pulai, Penasihat Undang-Undang Perkasa Daerah, Naib YDP 1 Perkasa Johor dll) telah mengadakan perbincangan dengan pengurusan Pelabuhan Tanjung Pelepas (Timbalan CEO, Encik Sufian dll) dan wakil penduduk Desa Paya Mengkuang telah mengadakan perbincangan mengenai isu tuntutan mengosongkan rumah di Mahkamah oleh PTP. Pasukan PDRM turut hadir.
Perbincangan telah berjalan dengan baik, mesra dan aman.
Keputusan:
1. Bayaran saguhati keatas rumah yang dirobohkan (rumah terletak di atas tanah kerajaan dan menumpang di atas tanah bertuan) masih dalam peringkat perbincangan oleh Lembaga Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas(PTP).
2.Rumah.Penduduk-penduduk yang menghadapi pertuduhan di Mahkamah dijemput berunding dengan pengurusan PTP seberapa segera. Menurut wakil PTP, tindakan Mahkamah adalah mengikut prosidur PTP dan tiada tindakan selanjutnya. YB ADUN Nusajaya (melalui wakil) memaklumkan bahawa usaha sedang dibuat untuk mendapatkan pembiayaan dari Sykt Perumahan Negara.
3.PTP memberi jaminan akan mengadakan perundingan dari masa ke masa dengan penduduk melalui wakil yang dilantik iaitu Ibrahim Atan dan Shahrullizam Abd Samad.
4.Penduduk/Nelayan perairan Pendas yang kawasan mereka menangkap ikan telah dijadikan tempat kapal 'parking' memohon agar dapat berkongsi pendapatan sewa dengan PTP dari kapal-kapal tersebut.
Tahniah PERKASA Johor Bahru yang proaktif menjadi orang tengah kepada permasalahan orang Melayu. Terima kasih kepada En.Samat Atan ,YDP 1, PERKASA Johor dan Tn Hj Ghaust b Mohd Yusuf yang mengerakkan usaha ini demi menjaga kepentingan Melayu setempat khususnya permasalahan Melayu di Johor Bahru.
Amir Hamzah
Batu Pahat.