Isnin, 5 Julai 2010

Khairi Menjangka PERKASA NGO Kerdil



Khairi Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO begitu mencemburui kelantangan dan keberanian Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dalam memperjuangkan hak-hak dan kepentingan Melayu dan Islam yang dulunya tugas ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin daripada kalangan Pemuda UMNO. Perasaan malu mungkin datang menerjah ke dalam diri kerana beliau sendiri tidak mampu melakukannya. Dengan berselindung di sebalik gagasan 1 Malaysia, beliau cuba untuk menutup kelemahan diri dengan mengatakan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh PERKASA tidak menepati hasrat dan matlamat 1 Malaysia. Maka tindakan PERKASA dianggap sebagai mengundur ke belakang dan menyelar pemimpin PERKASA sebagai jaguh kampung.

Jika Khairi tidak mampu seperti mana PERKASA lakukan, 'anak omak' ini lebih baik menjadi pemerhati dan tutup mulut. Tindakan seperti ini kelihatan lebih bijak daripada mencari pasal dengan PERKASA. Khairi dan Wee Ka Siong tidak banyak bezanya. Kedua-duanya tidak faham perkara 153 dalam perlembagaan yang berkaitan dengan hak-hak istimewa orang Melayu. Kalau Khairi faham dan tahu, sudah semestinya beliau menasihati rakan sejawatnya di dalam MCA supaya jangan mempertikaikan biasiswa MARA yang menjadi sebahagian daripada hak-hak istimewa orang Melayu itu. Disebabkan beliau sendiri tidak tahu, ditambah lagi dengan perasaan kurang senang dengan PERKASA beliau mengambil tindakan yang merugikan dirinya dengan membela rakannya daripada MCA yang sememangnya sedang mengambil kesempatan atas kelemahan politik orang Melayu dewasa ini.

Akhbar berbahasa Inggeris, The Star memetik Wee sebagai berkata jika kerajaan menghentikan pemberiaan biasiswa JPA tetapi mengekalkan biasiswa Mara, ia tidak selaras dengan konsep 1Malaysia.Kenyataan ini, dilihat telah mencabul 'kontrak sosial' apabila pendatang mendapat hak kewarganegaraan tetapi dalam masa yang sama mereka dikehendaki menerima tanpa syarat serta menghormati hak-hak istimewa orang Melayu.

Persoalan yang timbul sekarang ini, bukan Melayu dan Melayu liberal memandang PERKASA sebagai NGO yang merbahaya dan bermain dengan isu-isu perkauman. Apakah dosa PERKASA kepada orang Melayu, rakyat Malaysia dan Khairi sendiri. Jikalau ada pihak yang menuduh PERKASA sebagai kumpulan pelampau dan extremis, tuduhan itu agak meleset. PERKASA tidak mengancam sesiapa tetapi perjuangan dan tindakannya sentiasa bergerak di atas landasan undang-undang dan perlembagaan negara. Apa yang ditentang oleh PERKASA kesemuanya telah melanggar dan mencabul perlembagaan terutama perkara 153, yang berkaitan dengan hak-hak istimewa Melayu.

Berkrisis dengan PERKASA umpama berkrisis dengan orang Melayu. Ini adalah kerana PERKASA di dokong oleh orang Melayu dan Bumiputera di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak. Bahkan sebahagian besar yang menyokong dan menjadi ahli PERKASA adalah terdiri ahli-ahli UMNO akar umbi yang tidak berkepentingan. Mereka mahu PERKASA mewakili mereka bagi menyuarakan hasrat dan suara mereka kerana PERKASA adalah satu-satunya NGO yang bergerak atas landasan dan kesedaran politik. Jikalau Pemuda UMNO yang diketuai oleh Khairi Jamaluddin itu sehebat dan setangkas PERKASA, kemungkinan besar PERKASA itu sendiri tidak wujud.

Khairi juga harus sedar bahawa PERKASA sudah diwujudkan dikesemua negeri di Malaysia dan sekarang sedang mengembangkan sayapnya ke daerah-daerah pula. Di Johor yang menjadi 'jantung hati' kepada BN dan 'tiang seri' kepada UMNO sudah menubuhkan 8 daripada 10 daerah dalam waktu yang singkat. Sambutan rakyat diseluruh pelusuk negeri sangat menggalakkan walaupun mereka tahu Ibrahim Ali hanyalah seorang yang tidak berparti. Tetapi keberanian, kelantangan dan keikhlasan Ibrahim yang satu ketika adalah pemimpin Semangat 46 menarik perhatian mereka. Orang Melayu tidak lagi memikirkan latar belakang politik seseorang itu asalkan pada masa ini sanggup menyuara dan mempertahankan hak-hak orang Melayu. Berdasarkan sentimen ini, Khairi memang jauh ketinggalan dengan Ibrahim.

Khairi juga boleh menilai kekuatan PERKASA apabila PERKASA menerajui Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang dianggotai lebih 100 NGO Melayu menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera : Model Baru Ekonomi (MBE) dengan bertemakan 'MEMPERKASA EKONOMI BUMIPUTERA' dengan niat murni untuk memelihara kelangsungan dan menjaga kepentingan umat Melayu dan bumiputera seluruhnya pada 29 Mei 2010 yang lalu. Ini bermakna Khairi bukan sahaja berhadapan dengan orang Melayu dan PERKASA tetapi 100 NGO Melayu lain yang sentiasa bersama PERKASA.

Di dalam perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Pt. Sulong pada 4 Julai yang lalu, Timbalan Presiden UMNO TS Muhyiddin Yassin telah menyelar DAP,“DAP menganggap tindakan saya membela orang Melayu sebagai seorang ultra Melayu, sedangkan Lim Kit Siang lebih bersifat perkauman,” katanya. Beliau turut menyelar sikap segelintir orang Melayu yang sanggup mempertikai dasar kerajaan termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan usaha meningkatkan penguasaan orang Melayu dalam bidang ekonomi. Adakah kenyataan Timbalan Presiden UMNO ini berbaur perkauman atau ianya sekadar satu ingatan kepada orang-orang Melayu seperti Khairi atau satu kenyataan yang menepati kehendak perlembagaan.

Najib sendiri memberi perakuan bahawa Model Ekonomi Baru yang akan dilaksanakan nanti sekali-kali tidak mengenepikan kepentingan orang Melayu seperti mana yang telah termaktub di dalam perlembagaan. Adakah jaminan ini merupakan satu jaminan yang berat sebelah atau mengenepikan hak dan menafikan kepentingan rakyat Malaysia yang lain?. Tentu sekali tidak jika kita sentiasa terbuka minda dan faham akan sejarah dan latar belakang negara ini.

Khairi dilihat kurang semangat Melayunya walaupun beliau mengetuai salah satu sayap parti Melayu, malah beliau seperti semakin jauh dengan golongan petani dan golongan bawahan. Pada masa yang sama, Ibrahim dan PERKASA diangkat oleh rakyat di serata pelusuk negara termasuk dari ceruk kampung dan pendalaman. Maka sesuailah Ibrahim digelar 'juara kampung' sedangkan Khairi tidak menjuarai apa-apa.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Tiada ulasan: