MUAR 22 Feb. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) daerah ini meminta Majlis Perbandaran Muar (MPM) mengekalkan para peniaga Melayu di Bazar Uptown Maharani di Jalan Sisi, di sini.
Naib Pengerusinya, Abdul Ghafar Mohd. Said berkata, kepentingan peniaga bumiputera untuk terlibat dalam kegiatan ekonomi perlu dipelihara dan tidak sewajarnya disisihkan hanya kerana ada pihak yang tidak berpuas hati.
"Perkasa Daerah Muar dan Persatuan Peniaga-Peniaga Melayu Daerah Muar membantah dan menolak sekeras-kerasnya cadangan yang diusulkan segelintir peniaga agar Uptown Maharani dipindahkan ke lokasi lain.
"Kami akan tetap mempertahankan hak-hak peniaga untuk terus kekal berniaga di tapak sekarang dan tidak akan berganjak walau seinci pun untuk berpindah ke tapak yang lain," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bersama-sama Ketua Wira Perkasa Daerah Muar, Zulkifli Abd. Ghani menyerahkan memorandum bantahan mengenai pemindahan tapak Uptown Maharani kepada Yang Dipertua MPM, Muhamad Fuad Radzuan di bangunan MPM di sini.
Abdul Ghafar berkata, pada masa ini operasi peniaga bumiputera tetap di Uptown Maharani walaupun ada desas-desus untuk memindahkannya ke lokasi lain.
Menurutnya, bazar berkenaan menempatkan seramai 94 peniaga bumiputera serta beberapa peniaga bukan bumiputera dan ia dibuka dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam setiap Jumaat dan Sabtu.
"Sekiranya cadangan untuk memindahkan peniaga itu diterima oleh MPM, kami akan membuat bantahan agar peniaga di tepi Jalan Ali dan Jalan Haji Abu di sini sejak bertahun-tahun lamanya turut dipindahkan ke lokasi lain," katanya.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa Bazar Uptown Maharani menimbulkan kesesakan jalan raya kerana ia dibuka pada waktu malam dan ia diselia dengan baik untuk memastikan kelancaran trafik.
Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan