Jumaat, 23 September 2011

Hudud : Sekejap Ada, Sekejap Tak Ada

Apa reaksi Najib apabila Nik Aziz memohon Perdana Menteri, supaya menarik balik surat tersebut dan membenarkan Kelantan melaksanakan hudud jika benar-benar UMNO ikhlas berjuang untuk agama. Klik di sini untuk membaca surat Tun Mahathir kepada Nik Aziz.

Di dalam surat tersebut juga Tun menulis yang membawa maksud adalah tidak adil hukum hudud ini hanya pada orang Islam sahaja sedangkan mereka yang bukan beragama Islam akan terlepas walaupun melakukan jenayah yang sama, jadi di manakah keadilan di dalam hukum Hudud ala PAS ini? Sehingga kini surat itu tidak pernah dijawab oleh Nik Aziz.

Setiap kali pilihanraya, setiap kali lah akan berkumandang isu-isu lama untuk membugarkan kembali semangat penyokong PAS yang agak kecewa apabila dasar PAS daripada menubuhkan negara Islam dengan melaksanakan hukum hudud telah bertukar kepada Penubuhan Negara Kebajikan. Isu ini menjadi peluru kepada blogger-blogger pro kerajaan dengan menyerang PAS. PAS dikatakan hilang prinsip dan terpaksa tunduk kepada tuntutan di dalam pakatan terutama Anwar dan DAP.

Nik Aziz sedar keluh kesah dan kebimbangan penyokong tegar terutama penyokong golongan ulamak bahawa tindakan mengubah dasar asas ke arah pembentukan negara Islam kepada penubuhan negara kebajikan adalah satu kesilapan daripada segi moral dan maruah parti. Bagi menutup kesalahan ini, Hadi Awang bukan orangnya kerana Hadi tidak cukup berani berbanding Nik Aziz yang dikenali sebagai ahli politik yang 'gila-gila bahasa'. Maka Nik Aziz dikambing hitamkan sekali lagi.

Permainan wayang ini terus berlaku apabila Anwar secara peribadi menyokong hudud dilaksanakan di Kelantan. klik di sini. Sedangkan pemimpin-pemimpin PAS sendiri berbeza pandangan. Apa kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkenaan dengan perlaksanaan hukum hudud. klik di sini. kenyataan Naib Presiden PAS ini tidak jauh bezanya dengan kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO.

Berkenaan dengan hukum hudud ini ramai yang telah mengulasnya. Hudud Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah itu bersifat adil ke atas seluruh umat manusia. Agama Islam itu sendiri adalah satu agama yang benar untuk seluruh umat manusia maka hukum-hukumnya juga adalah untuk menjaga alam ini supaya aman, damai dan barakah. Sedangkan Hudud PAS pula lebih bersifat politik dan hanya untuk orang Islam dan ianya telah disanggah oleh Tun Mahathir dalam suratnya kepada Nik Aziz. Penulisan yang menarik tentang hudud yang benar-benar dituntut Islam boleh baca di sini.

Seperti biasa ketika menjelang pilihanraya, sebelum menang mereka akan berjanji akan melaksanakan hudud sebelum ayam berkokok, selepas menang mereka akan berkata hukum hudud 0.0001 daripada hukum Islam seperti yang dikatakan oleh Hadi Awang.




Kita jangan terpengaruh sangat dengan pergaduhan olok-olok antara Nik Aziz dengan Karpal Singh berkenaan isu hukum hudud ini. Seperti kata Nik Aziz perjuangan hudud ini telah PAS perjuangkan sejak tahun 1951 lagi. Semenjak itulah 'hudud' menjadi senjata PAS dalam setiap kali pilihanraya. Akhirnya PAS tersilap langkah selepas PRU ke 12, sepatah pun perkataan Islam termasuk manifestonya telah digugurkan semata-mata untuk menjayakan pakatan politik bersama PKR dan DAP.

Percayalah, jika Najib membenarkan sekalipun, hudud ini tidak akan tertegak di Kelantan. Nik Aziz tahu Najib tidak akan membenarkannya bagi pihak kerajaan persekutuan, maka sebab itu Nik Aziz berani menimbulkan kembali isu ini dan berjanji untuk kesekian kalinya menubuhkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum hudud. Najib memikirkan keadilan untuk semua rakyat atas kepentingan jawatan Perdana Menteri yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat seluruh negara sedangkan Nik Aziz bercakap mewakili umat Islam yang menjadi majoriti rakyat negerinya.

'Tidak melaksanakan Hukum Hudud itu bukanlah beerti menolak atau tidak mempercayai hukum tersebut, kerana soal perlaksanaan adalah berbeza dengan soal kewajipan mempercayainya. Mempercayainya tidak ada syarat, tetapi melaksanakan hukum itu perlu kepada banyak syarat.'

Baca juga di sini.

Pada pandangan peribadi saya, sesekali Najib perlu juga menjadi 'gila-gila bahasa' dengan membenarkan Nik Aziz melaksanakannya di Kelantan. Nik Aziz sudah memerintah Kelantan 20 tahun sehingga kini cita-citanya tidak pernah tercapai. Di penghujung usianya Kerajaan Persekutuan berilah keizinan kepada Nik Aziz kerana rakyat Kelantan sudah faham dan menerima hukum Allah ini dan tidak ada halangan kerana 95% rakyat Kelantan adalah beragama Islam.

Jika hasrat Nik Aziz ini disekat oleh Kerajaan Persekutuan, selagi itulah Kerajaan Persekutuan akan dipersalahkan. Kalau berjaya kita jadikan contoh, kalau gagal Nik Aziz telah meruntuhkan sebuah sistem undang-undang Islam yang adil dan benar.

Amir Hamzah Mohamad
Batu Pahat

Tiada ulasan: