Isnin, 5 Julai 2010

Khairi Menjangka PERKASA NGO Kerdil



Khairi Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO begitu mencemburui kelantangan dan keberanian Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dalam memperjuangkan hak-hak dan kepentingan Melayu dan Islam yang dulunya tugas ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin daripada kalangan Pemuda UMNO. Perasaan malu mungkin datang menerjah ke dalam diri kerana beliau sendiri tidak mampu melakukannya. Dengan berselindung di sebalik gagasan 1 Malaysia, beliau cuba untuk menutup kelemahan diri dengan mengatakan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh PERKASA tidak menepati hasrat dan matlamat 1 Malaysia. Maka tindakan PERKASA dianggap sebagai mengundur ke belakang dan menyelar pemimpin PERKASA sebagai jaguh kampung.

Jika Khairi tidak mampu seperti mana PERKASA lakukan, 'anak omak' ini lebih baik menjadi pemerhati dan tutup mulut. Tindakan seperti ini kelihatan lebih bijak daripada mencari pasal dengan PERKASA. Khairi dan Wee Ka Siong tidak banyak bezanya. Kedua-duanya tidak faham perkara 153 dalam perlembagaan yang berkaitan dengan hak-hak istimewa orang Melayu. Kalau Khairi faham dan tahu, sudah semestinya beliau menasihati rakan sejawatnya di dalam MCA supaya jangan mempertikaikan biasiswa MARA yang menjadi sebahagian daripada hak-hak istimewa orang Melayu itu. Disebabkan beliau sendiri tidak tahu, ditambah lagi dengan perasaan kurang senang dengan PERKASA beliau mengambil tindakan yang merugikan dirinya dengan membela rakannya daripada MCA yang sememangnya sedang mengambil kesempatan atas kelemahan politik orang Melayu dewasa ini.

Akhbar berbahasa Inggeris, The Star memetik Wee sebagai berkata jika kerajaan menghentikan pemberiaan biasiswa JPA tetapi mengekalkan biasiswa Mara, ia tidak selaras dengan konsep 1Malaysia.Kenyataan ini, dilihat telah mencabul 'kontrak sosial' apabila pendatang mendapat hak kewarganegaraan tetapi dalam masa yang sama mereka dikehendaki menerima tanpa syarat serta menghormati hak-hak istimewa orang Melayu.

Persoalan yang timbul sekarang ini, bukan Melayu dan Melayu liberal memandang PERKASA sebagai NGO yang merbahaya dan bermain dengan isu-isu perkauman. Apakah dosa PERKASA kepada orang Melayu, rakyat Malaysia dan Khairi sendiri. Jikalau ada pihak yang menuduh PERKASA sebagai kumpulan pelampau dan extremis, tuduhan itu agak meleset. PERKASA tidak mengancam sesiapa tetapi perjuangan dan tindakannya sentiasa bergerak di atas landasan undang-undang dan perlembagaan negara. Apa yang ditentang oleh PERKASA kesemuanya telah melanggar dan mencabul perlembagaan terutama perkara 153, yang berkaitan dengan hak-hak istimewa Melayu.

Berkrisis dengan PERKASA umpama berkrisis dengan orang Melayu. Ini adalah kerana PERKASA di dokong oleh orang Melayu dan Bumiputera di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak. Bahkan sebahagian besar yang menyokong dan menjadi ahli PERKASA adalah terdiri ahli-ahli UMNO akar umbi yang tidak berkepentingan. Mereka mahu PERKASA mewakili mereka bagi menyuarakan hasrat dan suara mereka kerana PERKASA adalah satu-satunya NGO yang bergerak atas landasan dan kesedaran politik. Jikalau Pemuda UMNO yang diketuai oleh Khairi Jamaluddin itu sehebat dan setangkas PERKASA, kemungkinan besar PERKASA itu sendiri tidak wujud.

Khairi juga harus sedar bahawa PERKASA sudah diwujudkan dikesemua negeri di Malaysia dan sekarang sedang mengembangkan sayapnya ke daerah-daerah pula. Di Johor yang menjadi 'jantung hati' kepada BN dan 'tiang seri' kepada UMNO sudah menubuhkan 8 daripada 10 daerah dalam waktu yang singkat. Sambutan rakyat diseluruh pelusuk negeri sangat menggalakkan walaupun mereka tahu Ibrahim Ali hanyalah seorang yang tidak berparti. Tetapi keberanian, kelantangan dan keikhlasan Ibrahim yang satu ketika adalah pemimpin Semangat 46 menarik perhatian mereka. Orang Melayu tidak lagi memikirkan latar belakang politik seseorang itu asalkan pada masa ini sanggup menyuara dan mempertahankan hak-hak orang Melayu. Berdasarkan sentimen ini, Khairi memang jauh ketinggalan dengan Ibrahim.

Khairi juga boleh menilai kekuatan PERKASA apabila PERKASA menerajui Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang dianggotai lebih 100 NGO Melayu menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera : Model Baru Ekonomi (MBE) dengan bertemakan 'MEMPERKASA EKONOMI BUMIPUTERA' dengan niat murni untuk memelihara kelangsungan dan menjaga kepentingan umat Melayu dan bumiputera seluruhnya pada 29 Mei 2010 yang lalu. Ini bermakna Khairi bukan sahaja berhadapan dengan orang Melayu dan PERKASA tetapi 100 NGO Melayu lain yang sentiasa bersama PERKASA.

Di dalam perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Pt. Sulong pada 4 Julai yang lalu, Timbalan Presiden UMNO TS Muhyiddin Yassin telah menyelar DAP,“DAP menganggap tindakan saya membela orang Melayu sebagai seorang ultra Melayu, sedangkan Lim Kit Siang lebih bersifat perkauman,” katanya. Beliau turut menyelar sikap segelintir orang Melayu yang sanggup mempertikai dasar kerajaan termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan usaha meningkatkan penguasaan orang Melayu dalam bidang ekonomi. Adakah kenyataan Timbalan Presiden UMNO ini berbaur perkauman atau ianya sekadar satu ingatan kepada orang-orang Melayu seperti Khairi atau satu kenyataan yang menepati kehendak perlembagaan.

Najib sendiri memberi perakuan bahawa Model Ekonomi Baru yang akan dilaksanakan nanti sekali-kali tidak mengenepikan kepentingan orang Melayu seperti mana yang telah termaktub di dalam perlembagaan. Adakah jaminan ini merupakan satu jaminan yang berat sebelah atau mengenepikan hak dan menafikan kepentingan rakyat Malaysia yang lain?. Tentu sekali tidak jika kita sentiasa terbuka minda dan faham akan sejarah dan latar belakang negara ini.

Khairi dilihat kurang semangat Melayunya walaupun beliau mengetuai salah satu sayap parti Melayu, malah beliau seperti semakin jauh dengan golongan petani dan golongan bawahan. Pada masa yang sama, Ibrahim dan PERKASA diangkat oleh rakyat di serata pelusuk negara termasuk dari ceruk kampung dan pendalaman. Maka sesuailah Ibrahim digelar 'juara kampung' sedangkan Khairi tidak menjuarai apa-apa.

Amir Hamzah
Batu Pahat.

Ahad, 4 Julai 2010

Lepas Ni 'Suara Perkasa' Garang lagi tak?

Editor Suara Perkasa dipanggil perjelas artikel "Tahan Ka Siong Bawah ISA' - KDN

Kementerian Dalam Negeri memanggil editor Suara Perkasa bagi memberi penjelasan berhubung artikel bertajuk 'Tahan Ka Siong Bawah ISA'.Ketua Komunikasi Korporat kementerian itu Jamilah Taib dalam kenyataan Jumaat berkata pertemuan hampir sejam tersebut bermula pukul 5 petang dan dihadiri Editor Suara Perkasa Amirudin Mohamad, Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, dan Setiausaha Bahagian Penerbitan, Teks & Al-Quran Datuk Zaitun Abd.Samad.Suara Perkasa akan dipanggil sekali lagi pada Isnin ini, katanya.

Komen : KDN double standard. Kalau akhbar Melayu cepat je diambil tindakan. Kalau surat khabar Cina buat-buat tak nampak ajer.....KDN hanya berani pada orang Melayu tapi menikus apabila berhadapan dengan bukan Melayu.........

Muhyiddin bidas orang Melayu sokong Pakatan.



4 Julai – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar sikap segelintir orang Melayu yang sanggup mempertikai dasar kerajaan termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan usaha meningkatkan penguasaan orang Melayu dalam bidang ekonomi.

Sambil menyifatkan sikap itu sebagai satu ancaman berkekalan bagi perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno, beliau mengingatkan sikap sebegitu boleh mengundang bencana besar kepada negara.

“Orang Melayu sepatutnya bersatu di bawah satu payung untuk menentukan agenda membangunkan bangsa Melayu tercapai.

“Matlamat ini tidak akan tercapai jika kita terus berpecah belah,” katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Parit Sulong di sini hari ini.Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, golongan Melayu tersebut menyokong pembangkang khususnya DAP pimpinan Lim Kit Siang.

“DAP menganggap tindakan saya membela orang Melayu sebagai seorang ultra Melayu, sedangkan Lim Kit Siang lebih bersifat perkauman,” katanya.

Kata beliau, dalam situasi yang amat mencabar ini, orang Melayu khasnya Umno perlu melipatgandakan usaha bukan sahaja untuk memperkukuh kedudukan parti tetapi berusaha melaksanakan tranformasi sejajar yang diputuskan di peringkat pusat supaya Umno dapat diterima oleh rakyat.

Beliau kesal kerana usaha tranformasi untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 di peringkat bahagian-bahagian berjalan perlahan, tidak sebagaimana diharapkan.

Menurut beliau, usaha menambah baik parti itu perlu dilakukan segera supaya parti dilihat masih relevan oleh bukan sahaja orang Melayu tetapi terus diterima rakyat keseluruhannya.

Muhyiddin menegaskan, sebagai pemimpin nombor dua, beliau sentiasa membantu usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengariskan gagasan 1Malaysia dan lain-lain dasar penambaikan pentadbiran negara untuk ditranformasikan di peringkat Umno di semua peringkat.

Usaha itu, katanya, penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap BN dan seterusnya memenangi semula kerusi yang terlepas kepada pembangkang dalam pilihan raya umum lalu pada pilihan raya umum akan datang.

Sabtu, 3 Julai 2010

MCA Ayer Hitam Berdiri Teguh Bersama Wee Ka Siong






Hari ini 3.7.2010 jam 6.00 ptg di Taman Kota, Yong Peng ,MCA Bahagian Ayer Hitam, Johor telah mengantung sepanduk di persimpangan jalan Taman Kota, Yong Peng bagi memberi sokongan kepada Wee Ka Siong selaku Ahli Parlimen Ayer Hitam dalam kemelut yang timbul bersama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia ( PERKASA) berhubung isu Biasiswa JPA dan MARA.

Akhbar berbahasa Inggeris, The Star memetik Wee sebagai berkata jika kerajaan menghentikan pemberiaan biasiswa JPA tetapi mengekalkan biasiswa Mara, ia tidak selaras dengan konsep 1Malaysia.

Sepanduk sebanyak 4 keping bertulisan Cina ini digantung sendiri oleh Ketua MCA Bahagian Ayer Hitam dan dibantu oleh beberapa orang ahli-ahli MCA. Sehingga jam 6.35 petang tadi tidak ada perhimpunan besar dan ucapan-ucapan daripada pemimpin MCA kecuali lebih kurang 30 orang termasuk polis dan SB yang berdiri di situ.

Antara ayat yang tertulis di sepanduk tersebut menyebut tentang sokongan padu MCA Ayer Hitam terhadap Wee Ka Siong dan meminta kerajaan mengkaji semula kelulusan permit ke atas akhbar rasmi PERKASA iaitu ' Suara Perkasa'. Makna tulisan ini diperolehi daripada seorang wartawan akhbar berbahasa Cina yang turut membuat liputan di situ.

Menurut sumber Cawangan Khas IPD Batu Pahat, sehingga jam 5.00 petang tadi tidak ada permohonan permit untuk berhimpun daripada pihak MCA Ayer Hitam. Perhimpunan yang telah diwar-warkan itu sebenarnya berada dalam pengetahuan polis. Pihak polis telah memberi nasihat kepada pemimpin yang terlibat agar tidak ada perhimpunan dan tindakan akan diambil jika arahan tidak dipatuhi.

Amir Hamzah b Mohamad
Setiausaha, PERKASA Johor.

Jumaat, 2 Julai 2010

PMR Dan STPM Wajar Dimansuhkan


Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di masa hadapan.

Alasan Muhyiddin adalah kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya. Beliau berkata dengan hanya satu sahaja peperiksaan awam, guru dan pelajar boleh menumpukan usaha ke arah menggilap kreativiti, sifat interaktif dan aktiviti ko-kurikulum lain, serta sukan.

Muhyiddin secara peribadi juga berpendapat hanya perlu ada satu peperiksaan awam sahaja bagi menilai pencapaian pelajar iaitu di peringkat akhir persekolahan atau sebelum memasuki institusi pengajian tinggi kerana di dalam soal kerjaya pun hanya SPM sahaja yang digunakan.

Sebagai rakyat Malaysia saya berpendapat ujian atau penilaian adalah penting untuk pengukuran kepada keberkesanan sistem atau proses pengajaran atau pembelajaran. Peperiksaan awam ialah satu peperiksaan setara diseluruh negara yang wajib diduduki oleh semua pelajar. Peperiksaan ini adalah alat pengukur atau penentu kepada keperluan kementerian dan negara.

Saya melihat, idea ini timbul adalah kerana kos atau perbelanjaan peperiksaan awam ini terlalu tinggi kerana bilangan pelajar yang menduduki peperiksaan ini semakin ramai. Jikalau dahulu, sebahagian kos ditanggung oleh pelajar dengan membayar yuran peperiksaan tetapi kini dengan tiada lagi yuran peperiksaan dan yuran persekolahan maka tanggung jawab itu terletak di bahu kerajaan. Maka faktur utamanya adalah kos peperiksaan awam menjadi bebanan kepada kerajaan.

Bagi membantu kerajaan mengurangkan beban ini, sebahagian daripada kita bersetuju untuk menghapuskan peperiksaan awam UPSR dan PMR. Jika dikira kos kedua-dua peperiksaan ini, kerajaan mungkin dapat menjimatkan lebih 50% kos keseluruhan peperiksaan awam yang melibatkan UPSR, PMR, SPM dan STPM.

Adalah tidak begitu adil jika kita bersetuju menghapuskan UPSR dan PMR semata-mata kerana untuk menjimatkan perbelanjaan tetapi dalam masa yang sama sistem pendidikan kita menjadi caca marba.

Secara umumnya saya hanya mencadangkan agar PMR dan STPM sahaja wajar dihapuskan tetapi terus mengekalkan UPSR dan SPM. UPSR adalah alat mengukur pencapaian pelajar di peringkat rendah sementara SPM adalah pengukuran pencapaian pelajar di peringkat menengah. Pelajar rendah akan belajar selama 6 tahun dan diuji dengan UPSR sementara 5 tahun di peringkat menengah akan diuji dengan SPM.

Selepas ujian UPSR di peringkat rendah, pelajar-pelajar boleh diasingkan mengikut aliran sama ada sastera, sains, teknikal atau kemahiran apabila naik ke tingkatan 1. Tidak perlu lagi ujian khas untuk mereka bagi menentukan arah aliran dan hala tuju mereka selepas tahun 6. UPSR juga boleh dijadikan tanda aras bagi pemilihan pelajar ke asrama penuh. Setelah menerima aliran pendidikan daripada tingkatan 1, pelajar akan belajar selama 5 tahun untuk satu lagi peperiksaan yang menentukan kerjaya, pendidikan lanjutan sama ada berbentuk akademik, teknikal dan kemahiran.

Untuk mencapai keberkesanan sistem penilaian baru ini, sekolah rendah perlu diperkasakan. Masalah kemahiran membaca, menulis dan mengira mesti diselesaikan di sekolah rendah. Tidak ada lagi pelajar buta huruf di sekolah menengah.

Daripada UPSR juga kementerian sudah boleh memilih koata pelajar aliran sastera 40% dan sains 60%. Dengan tempoh pembelajaran 5 tahun dalam setiap aliran pelajar berkemungkinan lebih mahir dengan kemahiran dan pengetahuan yang diberi sebelum melanjutkan pelajaran ke IPTA/ IPTS, Institut Kemahiran atau alam kerjaya.

Dengan hanya 2 peperiksaan awam ini iaitu UPSR (Sekolah Rendah) dan SPM (Sekolah Menengah) akan memberi ruang yang lebih luas kepada guru dan pelajar untuk mengasah bakat dan kreativiti mereka dalam bidang-bidang yang lain seperti seni lukis, muzik, sukan dan kebudayaan misalnya. Kita juga semakin tandus dengan penglibatan pelajar dalam drama dan teater, pengucapan awam seperti pidato, perbahasan dan perdebatan, berbalas pantun dan lain-lain. Kita juga ketandusan qari dan qariah, penulis tulisan khat dan sebagainya kerana ibubapa dan pelajar lebih menumpukan kepada tiusyen dan peperiksaan. Tidak dinafikan, pada masa ini aktiviti-aktiviti yang disebutkan ada di sekolah-sekolah tetapi tidak menjadi satu budaya pembelajaran dan pengajaran. Jika ada hanya dengan tujuan pertandingan dan sudah tentu tidak melibatkan keseluruhan pelajar.

Dalam masa yang sama, bidang sukan dapat dimajukan terutama dengan saranan menteri pelajaran agar 'seorang pelajar satu sukan'. Tanpa terlalu merisaukan tentang peperiksaan, pelajar boleh melibatkan secara aktif dalam sukan. Cuma kerajaan perlu memberhentikan membina bangunan baru sekolah di kawasan padang sekolah kerana kebanyakan sekolah hari ini terpaksa mengorbankan tanah kawasan padang untuk pembinaan bangunan tambahan sekolah yang baru.

Selain daripada sistem peperiksaan yang perlu dikaji semula, suka saya mencadangkan agar sistem pendidikan secara keseluruhan juga sudah boleh dibuat pengubahsuaian atau dirombak berdasarkan kepada sistem peperiksaan yang telah diubah. Pengiktirafan tidak seharusnya diberikan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi pelajar yang mempunyai bakat yang luar biasa dalam bidang bukan akademik juga perlu diberi perhatian. Misalnya dalam bidang kesenian dan kebudayaan, pertukangan, pertanian, bahasa dan penulisan, sukan, permotoran , keusahawanan dan sebagainya. Mereka bukan sahaja boleh mengilap bakat mereka tetapi boleh meneruskan pengajian secara formal sehingga boleh menjadi kerjaya hidup mereka. Mereka ini tidak hanya bergantung harap bekerja dengan kerajaan dan swasta semata-mata tetapi boleh berusaha sendiri untuk meneruskan kehidupan berdasarkan bakat dan kemahiran yang ada.

Pada umumnya sistem peperiksaan sudah wajar dinilai semula tetapi untuk jangkamasa panjang sistem pendidikan keseluruhannya juga perlu dirombak kerana sistem yang ada pada hari ini telah menghakiskan bakat-bakat semula jadi manusia Malaysia kerana tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya seperti mana mereka yang cemerlang di dalam bidang akademik.

Amir Hamzah
Batu Pahat.