Khamis, 11 Februari 2010

Dari Rakyat Kepada Tuanku


Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Ampun Tuanku...Sembah patik khas dari rakyat untuk Tuanku Sultan. Pertama-tamanya patik merafak sembah menjunjung kasih dan tahniah di atas pemashuran Tuanku sebagai sultan Johor yang ke 5 dalam Kesultanan Johor Moden. Sebagai rakyat yang menjunjung perlembagaan negara dan mendokong sistem demokrasi raja berperlembagaan, patik mengambil kesempatan di waktu yang bertuah ini untuk menyatakan rasa kasih dan taat setia ke bawah Duli Tuanku berdua.

Atas rasa hormat dan kasih rakyat rasanya tidak menjadi sesuatu yang menjolok mata bagi patik-patik pacal rakyat jelata untuk menyatakan rasa kasih dan taat itu dengan memberi kata-kata harapan kepada tuanku berdua sesuai dengan tanggungjawab Tuanku sebagai ketua Agama Islam dan menjaga hal-ehwal serta adat istiadat Melayu. Bagi patik-patik, masih bermurung dan bersedih di atas kemangkatan Almarhum ayahanda Tuanku yang sangat patik-patik kasihi dan hormati kerana ketegasan, keberanian, keikhlasan serta dekat di hati rakyat. Patik-patik akan kerinduan dan terasa kehilangan dengan suara garau dan tingkahlaku spontan almarhum ayahanda Tuanku.

Namun, yang telah pergi tidak akan kembali. Besar harapan Tuanku, begitu juga harapan patik-patik rakyat jelata sekelian. Sebagai rakyat jelata patik-patik memohon perkenan Tuanku berdua untuk meneruskan legasi almarhum ayahanda Tuanku dan harapan rakyat iaitu:

1. Menyokong pembinaan Jambatan Bengkok dan menolak cadangan pembinaan jambatan ke tiga bagi menggantikan Tambak Johor.

2. Meneruskan hasrat almarhum ayahanda Tuanku bagi mendapatkan semula hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih yang kini dimiliki Singapura.

3. Memastikan agama Islam terus utuh di negeri Johor dengan menafikan sebarang bentuk gangguan, desakan melampau dan provokasi yang boleh menggugat kesucian agama Islam dan pegangan agama penganut-penganutnya.

4. Memastikan hak-hak istimewa, adat istiadat, budaya dan bahasa orang Melayu hidup subur seperti mana yang telah tercatat di dalam perlembagaan.

5. Memastikan perpaduan antara rakyat semakin intim dengan jaminan keselamatan dan keselesaan hidup di kalangan rakyat jelata.

6. Saling nasihat menasihati antara Istana dan Kerajaan Negeri agar peluang dan ruang diberikan kepada individu dan syarikat Melayu dan bumiputera supaya tidak ketinggalan dalam pembangunan negeri khususnya di dalam Wilayah Pembangunan Iskandar.

7. Saling nasihat menasihati antara Istana dan Kerajaan Negeri / Pusat agar memberhentikan terus penjualan pasir dan memerangi penyeludupan pasir ke akar umbi kerana penjualan pasir ke Singapura walau dengan apa tujuan pun kerana ianya mengancam keselamatan dan ekonomi Johor.

8. Saling nasihat menasihati antara Istana dan Kerajaan Negeri /Pusat agar dikaji semula perjanjian penjualan air mentah ke Singapura mengikut saluran undang-undang kerana amalan sekarang sangat merugikan negeri dan negara.

9. Meneruskan amalan mendekati rakyat dengan meneruskan program 'Kembara Sultan' ke daerah-daerah di negeri Johor seperti mana yang lazim dilakukan saban tahun oleh Tuanku supaya tembok batu Istana Bukit Serene tidak menjadi penghalang menautkan jalinan kasih antara Tuanku dan rakyat.

10. Sebagai ketua Agama Islam, besar juga harapan patik-patik dengan kuasa dan daulat ke bawah Duli Tuanku supaya terus meningkatkan syiar Islam di Johor, meningkatkan kualiti akhlak rakyat, meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran sekolah agama kerajaan negeri dan menjadikan Johor sebagai pusat Ilmu dan Tamaddun Islam.

Ampun Tuanku, sembah patik harap di ampun kiranya ada sembah derhaka yang menguris hati Tuanku berdua. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah serta inayahnya ke atas Tuanku berdua dan kerabat-kerabat yang lain, pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat sekeliannya.

Amin.

Menjunjung Kasih Tuanku.


Amir Hamzah Bin Hj Mohamad
Setiausaha,
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negeri Johor.

2 ulasan:

KUNTONG berkata...

Daulat Tuanku.

zedmagel berkata...

DAULAT TUANKU...!
DAULAT TUANKU....!
DAULAT TUANKU.....!

TEBU BERKERAT PUCUK PEMIDANG,
SAMPAN SARAT SI IKAN BAUNG,
TUANKU IBARAT POHON YANG RENDANG,
TEMPAT RAKYAT TUMPANG BERNAUNG.

SEMOGA ALLAH BERKATI KEPIMPINAN DYMM TUANKU...AMIN...!!!