Jumaat, 19 Februari 2010

PERKASA Sedang Diperhati........


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) semakin hari semakin mendapat perhatian daripada seluruh umat Melayu dan Pribumi di seluruh pelusuk tanah air. Sama ada ianya daripada kalangan ahli parti politik, orang perseorangan, orang yang tidak berparti, golongan belia ,pelajar universiti dan pendek kata daripada pelbagai lapisan masyarakat. Kehadiran orang ramai ke setiap majlis Perlancaran PERKASA Negeri-Negeri tidak mengecewakan. Ini membuktikan bahawa PERKASA adalah NGO baru yang semakin diminati dan semakin didekati oleh rakyat walaupun ianya sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Kehadiran yang sangat menggalakkan pada setiap program PERKASA sama ada di Pusat atau di Negeri-negeri digunakan sepenuhnya oleh rakyat untuk mengetahui lebih dekat tentang perjuangan PERKASA. Apakah misi dan visi serta hala tuju PERKASA. Apakah tindakan PERKASA itu memberi kesan kepada tindakan kerajaan akibat tuntutan, kritikan membina, cadangan proaktif untuk kepentingan Melayu, Islam dan Pribumi? Apakah PERKASA mengambil tindakan secara provokatif atau secara berhemah dan musyawarah , semuanya sedang diperhati.

Apabila PERKASA meletakkan kepentingan Melayu dan Agama Islam serta mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu dalam perjuangannya sudah tentu ianya menarik minat untuk rakyat mendengarnya. Apabila PERKASA melebarkan sayapnya ke negeri paling selatan tanah air satu cabaran getir sedang menanti. Pastinya cerita dan isu yang bakal dibawa oleh rakyat negeri ini adalah berkenaan dengan kedudukan orang Melayu dalam pembangunan di Wilayah Iskandar dan juga pembangunan Danga Bay. Tidak ketinggalan pembangunan yang tidak seimbang dan sukar disertai oleh rakyat Melayu terbanyak.

Perlancaran PERKASA Daerah Johor Bahru sekali lagi menarik tumpuan apabila ramai umat Melayu begitu berminat untuk menyertainya tetapi dalam masa yang sama mereka ingin melihat sejauh mana PERKASA memainkan peranan dalam membela nasib orang Melayu Johor selepas ini. Negeri ini bukan diterajui oleh pembangkang tetapi diketuai oleh Melayu beragama Islam.

Sebelum ini memang sudah ada pertemuan antara YAB Menteri Besar Johor dan Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris) mengenai Akta IRDA 664 dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang bercirikan demokrasi berpelembagaan kerana Akta IRDA 664 dan Pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) mengenepikan hak Bangsa Melayu, menggugat kesucian Agama Islam dan mencabar kedaulatan Raja dan Negara. Keadaan ini diakui sendiri oleh MB Johor itu yang mengatakan bahawa terdapat kemungkinan bahawa Akta IRDA 664 tidak digubal dengan tatacara sepatutnya.

Antara isu-isu yang dibawa oleh pihak ProWaris ialah :
1. Isu kekebalan menteri dan pihak berkuasa WPI daripada mana-mana tindakan undang-undang yang diambil oleh rakyat.
2. Isu keputusan dan ketetapan boleh dicapai tanpa mesyuarat.
3. Isu Ketua Eksekutif IRDA dilantik mengikut sebarang syarat yang difikirkan wajar dan tidak semestinya berbangsa Melayu dan
4. Isu perubahan Akta IRDA boleh dibuat tanpa melalui proses Parlimen Malaysia.
5. Kedudukan Pengerusi Bersama di antara Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Besar Johor itu adalah sama sekali tidak benar menurut Akta IRDA 664. Tindakan untuk mengelirukan Rakyat Malaysia khususnya Rakyat Johor perlu dihentikan segera kerana Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Johor akan dianggap menipu Rakyat secara terang-terangan.
6. Akta WPI 664 tersebut tidak sepatutnya menjadi isu lagi kerana ia telahpun diperkenan Raja dan mendapat kelulusan Parlimen tetapi pihak ProWaris mendapat maklumat daripada “beberapa ahli parlimen menyatakan bahawa Akta IRDA 664 itu dibincangkan dan diluluskan dalam tempoh dua jam dengan keadaan yang tergesa-gesa pada 13 Februari 2007”. Menurut ProWaris lagi setakat ini Cadangan Pembangunan WPI dan Akta IRDA 664 juga belum dititahkan lagi kepada Majlis Raja-Raja.

Sehingga kini kita tidak tahu apakah follow up yang dibuat selepas pertemuan tersebut. Kehadiran PERKASA sudah sewajarnya memberi kekuatan tambahan kepada NGO seperti ProWaris untuk bergerak bersama. Pendekata kehadiran PERKASA ke negeri Gapura Selatan ini membawa cabaran yang lebih besar kerana bukan sahaja menanti dengan pelbagai isu tetapi pendekatan PERKASA juga sudah tentu berbeza dengan gerakerja PERKASA di Pulau Pinang.

Baca juga di sini:UMNO Johor Pertahan Agenda Melayu Dlm Iskandar Malaysia

Amir Hamzah b Hj. Mohamad
Setiausaha,
PERKASA Johor.

2 ulasan:

zedmagel berkata...

Salam Tuan Setiausaha,

Jangan sebarang perhati, bimbang ada yang tak sedap hati dan sakit hari. Hati Melayu awak tau le kan?

tebing tinggi berkata...

Perkasa memang diperhati olih melayu-melayu yang dekat dan mengahtawi lebih lanjut tentang Perkasa.
Malangnya kurang publisiti diperengkat Perkasa sendiri bagimana hendak mendekati perkasa dan menjadi ahli perkasa.
Hari ini baru saya baru terjumpa web Perkasa johor dan besok saya akan menelipon pej negeri bagi tujuan menjadi ahli.

semoga berjaya.