Ahad, 21 Februari 2010

Bersaing Memberi Khidmat Kepada Rakyat



Saya amat tertarik dengan idea Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor meminta kerajaan negeri memberi perhatian kepada pemilikan rumah mampu milik untuk generasi muda. Idea ini sebenarnya sangat baik, praktikal dan dirasai terus oleh rakyat. Tanpa mengira parti politik mana pun jika ianya memberi kebaikan kepada rakyat harus disokong dan pihak kerajaan pusat atau negeri-negeri yang dipimpin oleh UMNO harus bersaing memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Kerajaan sedia ada harus peka bahawa dalam tempoh pendaftaran pemilih bagi suku tahun keempat tahun 2009, menyaksikan 82,668 pengundi baru yang mendaftarkan diri dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Semua sedia maklum bahawa kebanyakan pengundi baru ini adalah dari kalangan generasi muda. Dalam keadaan persepsi generasi muda hari ini lebih memihak kepada pembangkang maka berita baik daripada Kerajaan Selangor ini perlu diambil berat oleh kerajaan bagaimana untuk memberi persaingan sihat bagi memberi sesuatu yang berfaedah kepada generasi muda ini.

Kerajaan perlu mengambil perhatian bahawa 75% daripada jumlah penduduk Malaysia adalah berumur kurang daripada 40 tahun dan kebanyakkan mereka adalah dalam kategori belia dan kerajaan juga perlu memberi komitmen untuk menambahbaik persekitaran kepada pemuda-pemudi serta keluarga yang muda dari segi pekerjaan, peluang pendidikan dan perumahan untuk membolehkan mereka menonjolkan potensi mereka dan seterusnya membolehkan negara berkembang dengan lebih maju lagi.

Generasi baru hari ini tidak lagi boleh disogok dengan pembinaan gelanggang futsal, jersey bolasepak, kompang, T shirt, bola dan sebagainya kerana itu hanya sekadar hiburan dan sukan semata-mata tetapi bagaimana kita boleh membantu kelangsungan hidup mereka yang lebih berkualiti. Seperti kebiasaannya golongan belia/ muda di kampung-kampung mudah dibeli dengan peruntukan-peruntukan yang disebutkan tetapi akhirnya masalah kehidupan seharian mereka terabai. Kita gagal mencari punca permasalahan dan golongan ini kemudiannya akan menambahkan semula bilangan rakyat yang miskin dan melarat. Kita selalu memberi ikan kepada mereka tetapi kita tidak memberi mereka pancing supaya mereka boleh memancing setiap hari.

Kerajaan juga harus sedar dan sila ambil perhatian bahawa ekonomi Malaysia pada masa kini terperangkap dalam kombinasi kemahiran rendah, produktiviti rendah dan gaji rendah di mana 60% keluarga di Malaysia hidup dengan gaji seisi rumah bulanan yang kurang daripada RM3,000. Dengan taraf hidup yang semakin tinggi ianya sesuatu yang membebankan kepada rakyat khususnya kepada orang Melayu. Bagaimana tindakan kerajaan untuk membantu golongan ini kerana pihak pembangkang akan mengwar-warkan bahawa kepincangan dan rasuah di kalangan pemimpin dan kakitangan kerajaan menyebabkan segelintir daripada rakyat yang mengaut keuntungan peribadi dan sebahagian besar rakyat hidup dalam kemelaratan.

Rakyat juga sedang melihat bagaimana kerajaan Selangor berjaya menyiapkan projek perumahan yang terbengkalai sejak tahun 2003 di pangsapuri Taman Ukay Bistari di Hulu Kelang di mana pemilik-pemiliknya sudah tujuh tahun menunggu kerana pembinaannya tergendala. Dalam masa yang sama ada beratus-ratus projek rumah terbengkalai yang tidak dapat disiapkan kerana kerenah birokrasi. Pemaju punya hal rakyat yang teraniaya. Kerajaan perlu segera memulihkan rumah-rumah yang terbengkalai diseluruh negara supaya pemilik-pemilik rumah yang tertipu dapat mendiami rumah mereka sebelum pilihanraya ke 13 nanti. Kalau kerajaan Negeri Selangor boleh lakukan mengapa kerajaan pusat dan kerajaan negeri-negeri lain yang sedang memegang tampuk kuasa masih gagal membantu dan memulihkan rumah-rumah terbengkalai ini.

Hari ini politik persepsi sedang bermaharaja lela. Jika pihak kerajaan gagal tentunya akan dikaitkan dengan kelemahan pengurusan, birokrasi, salah gunakuasa dan rasuah. Suka atau tidak Pemuda UMNO perlu bersaing dengan Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk bersaing memberi perkhidmatan kepada rakyat terutama golongan muda / belia jika mahu mendapat sokongan daripada pengundi baru dalam pilihanraya akan datang.

Sukanya Dalam Hati

Amir Hamzah b Hj Mohamad
Setiausaha
PERKASA Johor

1 ulasan:

zedmagel berkata...

Salam Bro Perkasa,

Mereka lebih baik bersaing memberikan bakti kepada masyarakat yang mengundi mereka daripada mereka semua meroyan tak tentu arah menyusahkan rakyat dan kerajaan