Apa lagi yang boleh kita taruhkan harapan kepada pengundi Cina di dalam PRU ke 13 nanti jika dirujuk kepada keputusan Pilihanraya DUN Sarawak baru-baru ini. Memang tidak dinafikan bahawa memang ada pengundi Cina yang setia kepada BN namun apa maknanya sokongan jika angka atau undi tidak mencukupi untuk memberi kemenangan.
Akhirnya angka juga yang menjadi penentu kepada kemenangan calon, dengan angka juga lah yang menyebabkan terkorbannya Presiden SUPP, Tan Sri George Chan. Kesimpulannya majoriti orang Cina telah beralih arah kepada DAP. Dengan angka juga DAP menggandakan kemenangannya daripada 6 kerusi dalam pilihanraya lalu kepada 12 kerusi dalam pilihanraya terkini. Inilah demokrasi dan kita tidak boleh menyalahkan sistem ini kerana itulah pilihan kita.
DAP terus mencipta kejayaan dengan memindahkan sokongan daripada SUPP kepada DAP seperti mana mereka memindahkan sokongan daripada MCA dan Gerakan kepada DAP di Semenanjung. Selepas ini, DAP akan duduk senyap dan mereka sudah melantik SUPP menjadi tukang salak seperti mana mereka memaksa MCA dan Gerakan menyalak di Semenanjung.
Apabila MCA dan Gerakan menerima pukulan TKO dengan DAP dalam PRU ke 12, MCA dan Gerakan telah menyalak dan menyalahkan UMNO kerana setelah 54 tahun merdeka baru mereka tersedar bahawa UMNO adalah abang besar kepada mereka. Mereka mulai membuat tuntutan-tuntutan baik dari segi, pendidikan, ekonomi malah politik. Ugutan ini berjaya menakutkan UMNO yang sememangnya berhati kecil dan belum 'kebah' daripada demam kegagalan memperolehi 2/3 dalam parlimen.
Kononnya ketidak adilan inilah yang menyebabkan orang Cina tidak berpuashati. Ugutan mereka ini, akhirnya dipenuhi juga oleh kerajaan semata-mata untuk meraih sokongan masyarakat Cina kembali menyokong BN. Pendekata dalam setiap pilihanraya kecil, sokongan undi Cina tidak banyak berubah sehinggalah sekali lagi mereka menunjukkan belangnya di dalam Pilihanraya DUN Sarawak.
Apakah sebenarnya kehendak mereka? Masih kurang lagi kah keperluan mereka di bandar Kucing, Miri atau Sibu misalnya. Berilah apa pun kepada mereka seperti mana di Sibu, tetapi adakah berbaloi dengan pemberian kerajaan dengan undi yang mereka berikan. Tidak berbaloi malah kerajaan dipermainkan secara terhormat.
Mereka sudah cukup banyak duit untuk membangunkan sekolah-sekolah mereka, apalah sangat dengan sumbangan RM1juta oleh kerajaan kepada sekolah-sekolah SRJK(C) jika mereka jauh lebih mampu daripada itu.
Apakah sebenarnya yang mereka hendak? Cukup mudah, jawapannya adalah KUASA. Mereka sudah menguasai ekonomi. DAP mendambakan PKR turut menang besar dengan mengalahkan PBB dibeberapa kawasan disamping dibantu sedikit oleh PAS yang bertanding 5 kerusi. DAP tentu kecewa kerana harapan mereka PKR akan menang besar. Pencapaian 3 kerusi PKR sangat buruk disebabkan PKR bertanding di 41 kerusi. PKR menang hanya 7% berbanding DAP yang menang 80% daripada kerusi yang ditandinginya.PAS pula langsung tidak boleh diharap.
Inilah corak pengundian masyarakat Cina di Sarawak menunjukkan seolah-olah wujud satu permuafakatan sulit di kalangan mereka untuk sengaja mengenepikan perwakilan Cina dalam kerajaan. Kalau tak nak jangan dipaksa dan jangan dibelai-belai lagi seperti dahulu.
BN yang menang 55 kerusi di Sarawak majoritinya daripada kawasan undi Melayu-Melanau dan bumiputera perlulah dibela secukupnya. Mereka ini lah yang membantu kerajaan sekarang mengekalkan kuasa. Mereka inilah yang patut dihargai dan diraikan dengan pelbagai keistimewaan. Masyarakat Pribumi dan Melayu Sarawak yang selama ini mendakwa mereka jadi masyarakat kelas kedua perlu diberi perhatian setelah diketepikan semata-mata mahu menambat hati kaum yang sentiasa menangguk di air keruh.
Keadaan yang sama juga perlu dilakukan di Semenanjung bila mana Melayu yang sepatutnya mendapat keistimewaan sering dipinggirkan daripada arus perdana ekonomi negara. Orang Melayu di kampung-kampung ini lah yang setia kepada kerajaan, bukannya Melayu yang hidup mewah di bandar besar. Mereka ini pergi mengundi pun tidak. Kami di kampung-kampung ini lah yang menjadi benteng terakhir kerajaan mempertahankan kuasa. Hargai lah kami Melayu-Melayu kampung yang setia kerana kami tahu hanya kerajaan ini saja lah yang dianggap terbaik jika dibandingkan dengan yang lain.
Amir Hamzah
Batu Pahat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan