Isnin, 22 Mac 2010

Undang-Undang Lompat Parti Tidak Perlu.


Sebagai rakyat, saya melihat isu lompat parti bukan isu besar pada negara. Di Malaysia melompat dari satu parti ke satu parti tidak menjadi kesalahan dari segi undang-undang. Mungkin dari segi moral ianya tidak begitu manis kerana mungkin ada yang beranggapan ianya adalah satu tindakan menipu pengundi di kawasan yang diwakili.

Melompat parti adalah berbeza dengan keluar parti. Apa yang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin PKR adalah tindakan keluar parti kecuali Fairus yang keluar parti PKR masuk parti UMNO. Namun Fairus bukan wakil rakyat baik wakil rakyat DUN atau Parlimen. Kemasukan Fairus ke dalam UMNO tidak memberi kesan langsung kepada Pakatan Pembangkang maupun UMNO.

Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim, Ahli Parlimen Bebas Nibong Tebal Tan Tee Beng, Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Bharu) dan Mohsin Fazli Samsuri (Bagan Serai) bukannya melompat parti tetapi keluar parti dan kemudiannya menjadi ahli parlimen bebas.Tindakan mereka ini tidak memberi impak besar kepada BN tetapi mengurangkan jumlah kerusi Pakatan Pembangkang di Parlimen.

Contoh impak besar akibat keluar parti ini pernah dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelapang, Hee Yit Fong yang keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas serta sokong BN hingga menyebabkan BN kembali berkuasa di Perak.

Kita jangan lupa, mahaguru 'lompat parti' ialah ketua pembangkang sendiri. Anwar Ibrahim seperti yang diketahui umum pernah merancang untuk mempengaruhi ahli-ahli parlimen BN keluar parti dan menyokong Pakatan Pembangkang dalam satu undi tidak percaya yang kononnya akan dilakukan di Parlimen pada 16 September 2008. Seperti yang didedahkan oleh Zahrain di parlimen baru-baru ini, Anwar dikatakan sanggup 'menjual' nama DYMM Yang Di Pertuan Agong dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia dalam Pelan 16 September untuk menawan Putrajaya menerusi pintu belakang. Akhirnya Zahrain dan kawan-kawannya tertipu. Apa lagi yang hendak ditunggu jika semua pelan hanya palsu sedangkan BN semakin hari semakin dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Mungkin ramai yang terasa di tipu kerana perancangan Anwar terutama yang membabitkan penglibatan Yang Di Pertuan Agong serta Panglima Angkatan Tentera hanya dibincangkan di kalangan mereka yang rapat dengan Anwar termasuk kumpulan Erdogan dalam PAS. Bagaimana dengan Ahli Parlimen DAP, AP biasa PKR dan PAS tentunya berasa malu kerana begitu mudah diperkotak-katikkan dan diperbodohkan oleh raksaksa yang mempunyai pelbagai wajah. Nak mengaku malu tentulah bertambah malu dan cara terbaik ialah 'buat-buat bodoh' aje lah.

Apabila DAP tiba-tiba buat kenyataan sedia bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menggubal undang-undang anti-lompat parti, kita merasa pelik bercampur hairan. Mengapa DAP yang tiap-tiap hari balun BN mahu pula bekerjasama dalam menggubal undang-undang lompat parti.Pengerusi DAP Karpal Singh berkata, DAP bersedia menyokong BN jika mereka mahu membentangkan undang-undang itu dan memberi jaminan bahawa 28 Anggota Parlimen parti itu akan memberi sokongan.

Saya berpendapat, buat masa ini, BN boleh pekakkan telinga dan buat tidak reti berkenaan dengan gesaan itu. BN tidak perlu jadi bodoh untuk mengikut telunjuk mereka yang semakin tersepit. Banyak lagi undang-undang yang perlu digubal. Mungkin undang-undang lompat parti yang cuba diketengahkan oleh DAP ini adalah bertujuan untuk mengawal AP mereka yang sukar dikawal berbanding AP PAS yang sudah melakukan Baiah atau akujanji agar tidak mengkhianati parti.

Kerisauan DAP ini bukannya melibatkan AP mereka di parlimen tetapi kemungkinan ada DUN DAP dan PKR yang akan keluar parti di Selangor. Inilah yang merisaukan DAP kerana Selangor adalah lubok emas dan sumber kewangan pakatan pembangkang. Kejatuhan Selangor ke tangan BN berkemungkinan akan mentalkinkan terus pakatan rapuh PKR-PAS dan DAP.

Kesimpulannya penggubalan 'Undang-Undang Lompat Parti' tidak perlu buat masa ini dan saya sangat seronok melihat aktiviti keluar masuk parti ini di kalangan ahli-ahli politik yang rasa tertipu, marah,dan pelbagai alasan lain dan sesuai sangatlah Anwar Ibrahim diberi gelaran 'Mahaguru Pintu Belakang'.

Amir Hamzah Hj Mohamad,
Setiausaha PERKASA Johor

Tiada ulasan: