Isnin, 2 Mei 2011

ANAK MUDA MENDEKATI ISLAM DISAMPING MEMERTABAT SENI SILAT


JOHOR BAHRU. 29/04/2011.
Sekumpulan anak muda di Taman Ungku Tun Aminah , Skudai sanggup berulangalik ke Pontian semata-mata untuk belajar bersilat. Mereka diajar seni bersilat dari bunga permainan silat hingga seni mempertahankan diri dan menyerang dengan menggunakan tenaga fizikal, kayu dan senjata.

Keinginan dan usaha mereka berhasil bukan sahaja kerana ilmu silat yang dipelajari malahan persilatan tersebut mensyaratkan mereka wajib berpegang teguh kepada ajaran Islam dan Sunah Rasullah S.A.W. Ahli-ahli persilatan ini ditanamkan kesedaran tentang ajaran Islam dan menjauhi ahli-ahlinya dari terpesong dengan ajaran sesat, kepercayaan karutmarut, perubatan dan perbomohan songsang yang menyalahi ajaran Islam. Persilatan tersebut ialah Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad (Asli) Jabat Kilat Malaysia. Sebuah pertubuhan silat yang telah mempunyai 34 gelanggang dengan keahlian seramai 105,000 orang di seluruh Semenanjung..

Dengan ilmu yang dipelajari, anak-anak muda tersebut yang diketuai oleh Sdra Faizal Perwira dengan disokong oleh PERKASA Kawasan Taman Ungku Tun Aminah yang diketuai oleh Haji Abd Razak Abd Aziz dan UMNO Cawangan Jalan Hulubalang telah membuka sebuah gelanggang baru persilatan tersebut di perkarangan Surau Blok 59 Flat Taman Ungku Tun Aminah, Skudai. Majlis pelancaran pembukaan gelanggang tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi peringkat negeri Johor Ustaz Ibrahim .

Dalam ucapan Ustaz Ibrahim menyatakan bahawa pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad (Asli) Jabat Kilat Malaysia sebagai sebuah NGO Melayu dan Islam berkerjasama rapat dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor dan lain-lain badan termasuk NGO Melayu dan Islam. Menurut Ustaz Ibrahim MAIJ juga menggalakkan aktiviti ini diwujudkan di kawasan-kawasan Surau dan Masjid di seluruh negeri Johor.

Majlis diakhiri dengan pertunjukan permainan seni silat oleh ahli-ahli pertubuhan dari kawasan Muar dan Pontian seramai 50 orang.

Samat Atan
NYDP 1. PERKASA Johor

Tiada ulasan: