Ahad, 8 Mei 2011

PERKASA Johor buat laporan polis

Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Johor hari ini membuat laporan polis berhubung laporan berita yang mendakwa wujudnya agenda untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan. Ianya selaras dengan tindakan PERKASA pusat. Menurut Datuk Ibrahim Ali, sehingga petang ini sudah 10 laporan polis dibuat bagi meminta pihak berkuasa menyiasat segera laporan itu yang dianggap serius.

Ianya bermula daripada berita ini :

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan p...enganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister di sini sebagai tetamu.

Majlis pertemuan paderi-paderi berkenaan dan ikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan didedahkan oleh dua laman blog hari ini iaitu 'bigdog' di bigdogdotcom.worldpress.com/ menerusi entri bertajuk 'Making Christianity the official religion? dan blog Marahku di marahku.blogspot.com.

Jeff yang ditanya mengenai ikrar itu mendakwa, ketika majlis berlangsung, beliau sibuk 'melayan' iPad selain menjamu selera walaupun turut bertafakur semasa paderi-paderi itu berdoa.

"Bukankah berdoa itu suruhan tuhan. Apa yang saya tahu, 'bigdog' (penulis blog) tidak sebut nama saya, dia tidak tuduh saya. Kalau mahu tahu lebih lanjut, sila tanya polis Cawangan Khas dan dengar rakaman yang dibuat mereka," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, majlis makan malam yang dihadiri lebih 100 paderi Kristian itu diadakan di sebuah hotel di sini semalam yang kemudiannya disusuli dengan beberapa konvensyen hari ini.

Malam ini pula akan diadakan satu majlis di Pusat Kristian (Katolik) Pulau Pinang di sini dan satu ceramah perdana pula dianjurkan esok. Pertemuan itu dikatakan dianjurkan setiap tahun.

Dalam majlis makan malam itu, seramai 35 orang paderi dikatakan berdiri dalam bulatan dan saling berpegangan tangan tanda bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian dan mahu Perdana Menteri juga dalam kalangan penganut agama itu.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di hotel yang terletak di Jalan Burmah mendapati persidangan sehari itu yang bermula pukul 8.30 pagi berlangsung di Bilik 2 dan 3, tingkat 7 hotel itu.

Kira-kira 10 meja dan kerusi disusun di luar bilik persidangan yang dikatakan diadakan setiap tahun dengan beberapa rahib dilihat berbual-bual sebelum masing-masing masuk ke dalam bilik persidangan.

Kenyataan Jeff itu bagaimanapun berbeza dengan laporan blog 'bigdog' yang mendakwa majlis itu dianjurkan oleh kawasan Parlimen DAP dipercayai Jelutong dan turut dihadiri oleh kira-kira 100 yang lain termasuk wakil rakyat parti itu dari Sarawak dan beberapa pekerja parti.

"Apa yang dilakukan DAP adalah sesuatu yang sangat berbahaya. DAP membawa strategi politik cauvinis mereka ke satu tahap perubahan dan sensitiviti yang sangat tinggi," dakwa blog berkenaan.

Blog tersebut menambah, sebagai satu komuniti minoriti, cita-cita DAP itu jelas membuktikan mereka cuba bertindak sebagai kaum majoriti.

"Ini merupakan lembaran baru dalam politik yang mana kaum minoriti memainkan peranan sebagai kaum majoriti di samping strategi cauvinis DAP menyemai politik kebencian. Sesuatu yang pasti ia bergerak pada landasan yang sangat berbahaya," dakwa blog itu.


Ketua Wira Johor bersama Pengerusi PERKASA Johor Bahru membuat laporan polis di dua tempat berasingan iaitu di IPD Johor Bahru Utara dan IPD Johor Bahru Selatan.

Turut membuat laporan polis ialah PERKASA Kulaijaya di Balai Polis Kulai Jaya. PERKASA Kulaijaya dan PERKASA Ledang turut membuat kenyataan akhbar berkenaan agenda halus daripada pihak tertentu yang terang-terang menghina perlembagaan.


Di dalam perlembagaan dengan jelas menyebut:

Islam adalah Agama Persekutuan

“Perkara 3 (1) – Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”. (Perlembagaan Persekutuan)

Kita telah menyaksikan mutakhir ini terdapat golongan yang mempersoalkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Perkara begini tidak sepatutnya berlaku memandangkan telah lama kita mengecapi kemerdekaan dan kontrak sosial yang dibina sebagai penguku yang menyokong kestabilan negara selama ini semenjak lebih 50 tahun dahulu tidak patut dipersoalkan. Perkara yang telah persetujui bersama oleh pengasas-pengasas dan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu tidak patut dipertikaikan lagi. Sesiapa yang berbuat demikian maka mereka tidak layak menggelar atau mengakui bahawa diri mereka adalah rakyat negara ini.


Amir Hamzah b Mohamad
Setiausaha PERKASA Johor.

Tiada ulasan: